Khamis, 25 Ogos 2011

BAHAYA KEFAHAMAN MENGUTAMAKAN PARTI DAN KAUM...UMAT ISLAM DILARANG MENYEKAT PERKEMBANG ISLAM...BOLEH ROSAK IMAN.....

Ibu tunggal mendakwa diserbu lelaki bersenjata
Salmah Mat Husain I Foto Rizal Tahir

RANTAU PANJANG, 25 Ogos: Seorang armalah bagaikan bermimpi apabila rumahnya di sini tiba-tiba diserbu sekumpulan lelaki bersenjata kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Pintu rumahnya ditendang kumpulan lelaki terbabit yang datang tanpa diundang.

Lebih parah lagi dakwa Noraisiah Che Ghani, 40 salah seorang lelaki bertopeng lengkap bersenjata itu menendang di bahagian perutnya sehingga terduduk.

”Kesannya saya mengalami sakit di bahagian pinggang dan perut sehingga sekarang. Ketika kejadian saya sedang tidur di ruang tamu tiba-tiba terperanjat mendengar bunyi kenderaan yang kuat di halaman rumah.

“Sebaik sahaja bangun dua anggota polis bertopeng menendang pintu rumah dan tendangan terkena perut sehingga saya terduduk.

“Sampai hari ini saya tidak boleh duduk lama kerana sakit di bahagian pinggang dan perut,” ujarnya berniaga sayur di Pasar Rantau Panjang.

Armalah kepada tiga anak yang berusia antara sembilan dan setahun setengah itu pada mulanya panik tidak tahu apa punca kedatangan lelaki bertopeng lengkap bersenjata.

Ujar beliau tanpa memberitahu apa sebab kedatangan mereka terus bertindak.

”Selepas lama mengeledah kemudian salah seorang anggota polis terbabit memohon maaf di atas kesilapan mereka, lalu meninggalkan rumah saya.

”Seorang anggota polis pada awalnya mendakwa kononnya saya terlibat menyeludup senjata api,” katanya yang masih tidak dapat melupakan peristiwa berkenaan ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Ketika kejadian turut berada di rumahnya tiga anaknya, emak yang cacat penglihatan, dua adik beradiknya.

Kumpulan bersenjata itu menyelongkar segenap ruang di dalam rumahnya hampir dua jam sebelum beredar tanpa menemui sebarang barangan disyaki.

Mencerita lanjut saat-saat mencemas itu Noraisiah memberitahu beliau kemudian ditawarkan sejumlah bayaran sebagai kos perubatan bagi menutup kes tersebut ketika datang membuat laporan polis di Balai Polis Rantau Panjang.

Menurut beliau adiknya Numi Che Ghani juga turut ditawarkan sejumlah bayaran yang sama.

Serbuan itu juga turut menjadikan adik iparnya Sopian Sautar, 31 sebagai mangsa apabila dipaksa meminum air empat botol kerana disyaki penagih dadah ketika datang menemankan Norasiah di Balai Polis.

“Pada mulanya saya enggan sebab saya berpuasa, tetapi saya dipaksa juga minum empat botol air kosong dalam botol besar selepas ujian kali pertama didapati saya negatif sebarang dadah,” ujarnya.

Menurut Norasiah selepas kejadian kira-kira jam 11 pagi beliau ke klinik berhampiran rumahnya untuk mendapatkan rawatan dan kira-kira 11 malam pula membuat laporan polis.

Sementara itu anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berharap kerajaan dan pihak polis bertanggungjawab ke atas mangsa yang ditendang sekumpulan lelaki bersenjata alasan disyaki sebagai penyeludup senjata.

“Kita minta kerajaan dan pasukan polis bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Mereka juga meninggalkan mangsa begitu sahaja tanpa membantunya membawa ke hospital biar pun tercedera,” katanya ketika menziarahi mangsa di rumahnya di sini.

Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat turut melahirkan rasa hairan apabila salinan laporan polis yang diterima mangsa tidak sama dengan apa yang dilapor semalam.

“Dalam laporan itu, mangsa memberitahu anggota polis yang bertopeng menyerbu rumahnya dengan diacu senjata seramai hampir 20 orang, tetapi dalam laporan yang diberi kepada pengadu hanya dua orang sahaja,” katanya.


PAS Pahang tetap tolak projek Lynas
Harakahdaily

KUANTAN, 25 Ogos: PAS Pahang tetap menentang projek Lynas walaupun ada percanggahan dalam kenyataan pakar-pakar, yang sebilangan kecilnya dalam PAS yang mengatakan ia tidak mengundang bahaya kepada manusia dan alam sekitar.

Dalam satu kenyataannya hari, Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beliau tetap menghormati kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang anggota parlimen PAS, Dr Che Rosli Che Mat, walaupun pendapat beliau berbeza dengan pendirian parti dan Pakatan Rakyat dalam hal ini.

“Kenyataan beliau berupa hak dan kepakaran pandangan peribadi yang harus dihormati. Ini tidak menjadi masalah kepada parti, malah parti meraikan perbezaan pendapat ini dalam juzuk selaras dengan landasan demokrasi,” terang beliau.

Sebelum itu, Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS menjelaskan bahawa PAS Pusat akan turut mendapatkan keterangan berhubung kenyataan Che Rosli, ahli parlimen Hulu Langat yang mengatakan Lajnah Penerangan PAS Pusat melarang beliau mengeluarkan kenyataan tentang nuklear terutama mengenai Lynas.

Sehingga kini, terang Tuan Ibrahim, beliau yang baru menjawat jawatan Ketua Penerangan PAS Pusat selama 2.5 bulan ini tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan sebarang kenyataannya tentang nuklear termasuk berhubung dengan isu Lynas.

Dr Che Rosli dalam laporan Buletin Utama TV3 semalam mengatakan beliau sudah lama bersabar dalam perkara itu sebab Penerangan PAS Pusat melarang beliau membuat kenyataan berhubung nuklear termasuk mengenai isu Lynas.

Selain itu, Che Rosli turut mengkritik akhbar rasmi PAS, Harakah kerana bersikap tidak adil terhadap beliau berbanding Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fauziah Salleh yang sering disiarkan kenyataan-kenyataannya berhubung nuklear dan isu Lynas yang bertentangan dengan pendiriannya.

Mengenai kenyataan Che Rosli yang mengenai bahawa kilang loji nadir bumi Lynas tidak membawa ancaman, Tuan Ibrahim berkata bagi pihak PAS, rakyat perlu didahulukan dalam hal ini.

“Kebimbingan risiko akibat projek Lynas oleh orang ramai, terutamanya penduduk Kuantan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Rakyat mempunyai hak terbesar yang mesti didengar semua.

PAS tetap melihat projek ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat selain peluang pekerjaan hanya cukup menampung beberapa kerat pekerja tempatan; berbanding dengan risiko yang sedang menanti,” tegas beliau.

Projek Lynas sebagaimana projek be-risiko tinggi yang lain, katanya sekiranya mengikut semua pakar nuklear, tidak akan mendatangkan ancaman dan bahaya dalam keadaan normal.

“Bahkan loji nuklear pun dikatakan selamat, begitu juga loji tenaga dan seumpamanya. Namun, apabila berlaku sesuatu di luar kawalan manusia seperti yang terbesar kecuaian manusia sendiri, gempa bumi, banjir, tsunami dan lain-lain – apakah pada waktu itu baru kita hendak mengakui bahawa ia telah menjadi satu ancaman?” soal beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, penduduk di sekitar Gebeng dan Kuantan masih teringat projek nadir bumi di Bukit Merah pada 1980an – semasa ia diluluskan, ia juga dikatakan tidak bahaya dan tidak mengancam manusia dan alam sekitar.

“Akan kini setelah terbukti ancamannya, ke mana semua pakar yang berhujah pada masa itu bahawa ia selamat? Semuanya senyap menyepi – yang menanggung bala adalah penduduk di sekitar kawasan loji tersebut, bahkan sisa toksiknya masih belum diselenggara sepenuhnya dengan baik sehingga kini.

Percayalah, bila loji di Gebeng bertukar menjadi ancaman, orang asing dan tempatan beserta pakar yang menyokong loji ini akan mencari mangsa untuk dipersalahkan, lebih teruk lagi senyap menyepi tanpa sesiapa yang sanggup berdiri keluar untuk bertanggungjawab kepada akibat yang berlaku,” selarnya.

Rakyat Pahang rata-ratanya sehingga kini ingin tahu ke mana sisa radioaktif akan dilupuskan, kata Tuan Ibrahim, dan sekiranya ianya tidak bahaya seperti yang dinyatakan, pihak yang menyokong penubuhan kilang ini dicabar untuk menyatakanlah sebuah negara yang sudi terima sisa toksik ini.

“Apakah sisa ini akan ditanam dalam bumi kita – isi dan untung mereka yang dapat tapi sisa dan toksik rakyat kita yang tanggung?

PAS Pahang berdiri teguh bersama rakyat Pahang yang menentang projek ini, dan bagi sesiapa yang menyokongnya, bolehlah usahakan agar projek ini dibawa ke kawasannya, dan tengoklah apa reaksi pengundinya di sana. Carilah negeri lain yang rakyatnya sedia dan sanggup terima, itupun jika dapat cari,” bidas beliau.

Mengenai tindakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah menetapkan 11 syarat dikeluarkan untuk pertimbangan Lynas dan AELB (Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia) sebelum projek kilang tersebut diteruskan, Tuan Ibrahim mengingatkan rakyat bahawa badan ini merupakan badan yang juga menggalakan pengunaan tenaga nuklear di dunia.

“Menurut President Sahabat Alam Malaysia (SAM) S. M. Mohamed Idris, badan inilah yang membuat perakuan loji nadir bumi di Bukit Merah tidak membahayakan orang ramai. Tapi sekarang, apa yang sudah berlaku ?

PAS Pahang tetap berpegang bahawa suara rakyat jadi penentu. Kita akan terus mendesak sehingga projek ini dibatalkan. Rakyat Pahang akan memberikan jawapan yang jelas menentang hal ini apabila datang PRU-13 nanti,” tegas beliau lagi.


Pemuda PAS tolak undi pos luar negara
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Dewan Pemuda PAS Malaysia menolak keras cadangan yang dikemukakan oleh SPR untuk meminda peraturan pilihanraya bagi membolehkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengundi secara pos.

Cadangan tersebut jelas tindakan yang bercanggah dengan desakan PAS dan Pakatan Rakyat yang mahukan SPR mereformasi undi pos, bukannya menambahkan lagi jumlahnya.

Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat menegaskan, pihaknya amat kesal dengan cadangan SPR itu kerana ia jelas bertentangan dengan hasrat rakyat yang mahukan SPR melaksanakan pilihanraya di negara ini dengan bersih dan adil.

Menurut beliau, untuk membolehkan pilihanraya dilasanakan dengan bersih dan adil, antara desakan yang dibuat oleh rakyat terhadap SPR termasuk menerusi himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu di Kuala Lumpur termasuklah manambah baik undi pos.

Katanya, namun cadangan terbaru dari SPR itu jelas menunjukkan sikap sebenar SPR yang tidak mengendahkan desakan rakyat, sebaliknya membuat cadangan mengejutkan untuk memperbanyakkan lagi undi pos dalam pilihanraya di negara ini.

"Tindakan Pengerusi SPR itu ternyata bertentangan dengan Perkara 114 (2) Perlembagaan Malaysia. Pengerusi SPR sendiri perlu sedar dengan kedudukannya yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Oleh itu, Pengerusi SPR perlu mengendalikan pilihanraya di negara ini dengan adil dan tidak memihak kepada mana-mana parti. Beliau perlu bekerja dengan jujur, bertanggungjawab dan mendapat kepercayaan Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof seperti yang dilaporkan akhbar The Star hari ini mencadangkan agar peraturan pilihanraya dipinda bagi membolehkan rakyat Malaysia selaku pengundi-pengundi yang berada di luar negara membuang undi secara pos.

Beliau mencadangkan agar pindaan tersebut dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 bagi memberikan peluang kepada penduduk Malaysia yang berada di luar negara membuang undi dengan lebih mudah.

Menurut Suhaizan, tindakan rakyat terutama menerusi himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu turut memaklumkan kekecewaan rakyat dengan perjalanan pilihanraya di negara ini yang dikendalikan oleh SPR yang tidak pernah bersih dan adil kepada Yang di-Pertuan Agong, termasuk dengan adanya undi pos yang melibatkan polis dan tentera.

"Perlaksanaan undi pos sememangnya penuh dengan ruang manipulasi. Ini antara lain terjadi kerana semasa proses pembuangan undi pos tidak terdapat pemerhati politik termasuk wakil-wakil parti yang bertanding.

"Itulah sebabnya undi pos didesak dimansuhkan. Tetapi cadangan SPR itu pula bukannya hendak memansuhkan, malah tidak juga hendak mengurangkan, sebaliknya memperbanyakkan lagi undi pos sehingga kepada orang awam yang berada di luar negara pula," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Perlaksanaan undi pos di kalangan orang awam khususnya rakyat Malaysia yang berada di luar negara, katanya, pasti akan meluaskan lagi ruang manipulasi terhadap undi pos.

"Dengan itu, Pemuda PAS Malaysia secara tegas menolak cadangan SPR itu dan mendesak agar SPR mengurangkan lagi undi pos di negara ini, bukannya menambahkannya seperti yang dicadangkan itu," katanya.

SPR, tegasnya, sepatutnya tidak bertindak membuat cadangan seperti itu, tetapi melaksanakan desakan rakyat agar undi pos dimansuhkan di negara ini.

"Keengganan SPR melaksanakan desakan rakyat itu bukannya boleh menaikkan imej SPR, malah akan membuatkan rakyat akan terus hilang kepercayaan kepada SPR," tegas beliau.

Namun, Pemuda PAS Malaysia mencadangkan kepada SPR agar melaksanakan pembuangan undi terhadap rakyat Malaysia yang berada di luar negara di pejabat kedutaan Malaysia di negara-negara terbabit, dengan dipantau pemerhati politik dan wakil-wakil parti yang bertanding.

"Ini bermaksud, pembuangan undi kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara itu sama juga seperti yang berada di dalam negara. Bezanya, mereka membuang undi di pejabat kedutaan.

"Langkah seperti itu pula bukanlah sesuatu yang asing. Malah ia turut dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan di negara-negara lain di dunia ini kepada rakyat masing-masing yang berada di luar negara.

"Jadi, SPR wajar mencontohi langkah seperti itu, bukannya membuat cadangan yang pelik dan ternyata memihak kepada Umno BN seperti itu," ujar beliau.


Lynas: Kebimbangan penduduk wajar diteliti
Abd Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Biarpun terdapat pelbagai pandangan, namun pandangan pakar kesihatan awam bahawa projek loji Lynas di Gebeng, Kuantan tetap akan menjejaskan kesihatan orang ramai perlu diberikan perhatian serius, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Walaupun perlu dihormati pandangan (Ahli Parlimen Hulu Langat) Dr Che Rosli (Che Mat) yang merupakan seorang pakar dalam bidang nuklear mengenai tahap radiasi loji tersebut, tetapi kebimbangan penduduk setempat yang disokong oleh pandangan pakar kesihatan awam terhadap kesan loji tersebut ke atas mereka mestilah dikongsi bersama dan diberi perhatian serius," kata beliau.

Awal Julai lalu, pakar kesihatan awam, Dr Jayabalan menyifatkan projek memperoses nadir bumi itu tetap akan menjejaskan kesihatan orang ramai setelah ia beroperasi kelak.

Bercakap mengenai kesan radiasi daripada projek Lynas itu, beliau berkata, loji itu akan menghasilkan sekurang-kurangnya 20,000 tan sisa radioaktif setahun.

"Walaupun Lynas dan Badan Perlesenan Tenaga Atom (AELB) menyatakan tahap radiasi lebih rendah, tetapi ianya akan berbahaya apabila terkumpul dengan jumlah yang lebih banyak," kata Dr Jayabalan.

Selain pandangan pakar kesihatan awam, kata Mahfuz, rakyat negara ini terutama penduduk sekitar projek Lynas itu semakin bimbang apabila akhbar The New York Times melaporkan projek Lynas mengalami isu kejuruteraan dalam tangki simpanan, paip penghantar dan tapak kilang.

Menurut akhbar tersebut, masalah yang dihadapi oleh Lynas Advanced Material Plant (LAMP) itu termasuk dinding 70 tangki takungan didapati mengalami rekahan struktur, ketirisan dan terkandung poket udara, paip tidak memenuhi ketetapan piawaian, tapak tidak dapat menebat air, dan sebagainya.

Antaranya, paip keluli yang digunakan merupakan keluli biasa yang tidak dapat menahan kehausan dan kehakisan; tangki konkrit juga diperbuat oleh simen biasa dan bukan konkrit polimer lebih mahal yang bercampuran dengan bahan plastik; tapak simen kilang tersebut juga tidak dilitupi oleh penebat plastik bagi menghalang air dan kelembapan.

"Penekanan Lajnah Alam Sekitar PAS bahawa rakyat yang menentang projek itu tidak beremosi kosong amat penting untuk diberikan perhatian yang sepatutnya," kata Mahfuz lagi.

Beliau sependapat dengan pandangan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar bahawa rakyat yang membantah projek itu berpegang kepada kajian yang menyeluruh dan bersandarkan rujukan-rujukan yang tertentu sehingga terbukti bahawa salah satu isu yang dibangkitkan wakil penduduk setempat ialah mengenai ketiadaan pelan pengurusan sisa buangan diakui oleh panel Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sendiri sebagai salah satu penambahbaikan yang perlu disediakan oleh pihak Lynas dan AELB.

21 pengundi berbeza bangsa dalam sebuah kedai
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Keraguan daftar pemilih terus dibongkar apabila terbaru, DAP menemui bukti 21 orang pengundi berlainan kaum tinggal di sebuah kedai.

Selain penemuan itu, mereka juga menjumpai seorang anggota tentera berumur 111 tahun tetapi masih lagi berkhidmat dalam tentera, seorang anggota dengan dua isteri yang nama mereka sama, dan seorang wanita yang lahir dua kali pada abad yang lepas.

Keganjilan yang bersifat penyelewengan dan penipuan ini telah didedahkan oleh Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau seperti dipetik Roketkini berkata, DAP telah menemui 21 nama daripada beberapa keluarga Cina dan India yang berdaftar sebagai tinggal di sebuah kedai yang dijadikan pusat khidmat tidak rasmi seorang pemimpin MCA di Negeri Sembilan.

Kedai itu yang beralamat di A11-2 Metrix Medan Jalan Manikawasagan, Seremban mempunyai 10 pengundi Cina dan 11 India.

“Ini membuktikan satu penipuan yang jelas kerana tidak munasabah sebuah kedai, dan bukannya rumah, boleh mempunyai begitu ramai pengundi daripada keluarga yang berbeza,” katanya.

Menurutnya, satu lagi keganjilan yang ditemui ialah nama seorang pengundi di kem tentera Jalan Rasah, iaitu Nor Hisham bin Md Darus dengan kad pengenalan tentera T1091492.

“Apa yang pelik di sini ialah Nor Hisham ini mempunyai seorang isteri bernama Khadijah Binti Husin yang mempunyai dua kad pengenalan, iaitu 79022011518 dan 700220115182.

“Adakah Nor Hisham ini mempunyai dua isteri dengan nama yang sama dan ejaan nama yang sama?” katanya.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, ini adalah tidak mungkin kerana Khadijah membuat pendaftaran baru sementara Khadijah ‘yang kedua’ baru sahaja mendaftar sebagai pengundi.

Dalam masa sama juga, beliau mempertikaikan bagaimana seorang anggota tentera bernama Hisni Bin Isnain yang bernombor tentera T1102918 dan lahir pada 24 Julai 1900, masih berkhidmat di kem tentera Sunggala, Bagan Pinang.

“Hebat sekali anggota tentera kita. Sudah berumur lebih 100 tahun pun masih berkhidmat,” ujarnya.

Katanya, DAP juga menemui dalam daftar pemilih nama seorang pengundi Swee Lan @ Chia Swee Lan yang lahir pada 17 September 1918 yang mempunyai kad pengenalan baru dan lama bernombor 410917055006 dan 1559230.

Daripada maklumat dua kad pengenalan itu, tidak dapat dipastikan sama ada Swee Lan telah dilahirkan dua kali, iaitu pada 1918 dan 1941.

“Ini hanya di kawasan Parlimen dan DUN saya sahaja, dan hanya beberapa kes sahaja yang dapat kami kesan, kerana bukannya mudah untuk mengesan pengundi-pengundi misteri ini,” kata Loke.

Justeru, beliau berkata, walau pun penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen (PSC) adalah satu langkah yang boleh diterima, tidak ada gunanya jika masalah pelik yang boleh menimbulkan keraguan dalam sistem pilihan raya negara gagal diatasi.

“Begitu juga kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya yang angkuh kerana mengatakan mereka boleh menolak apa-apa keputusan PSC. Maksudnya, masalah-masalah ini tidak akan selesai,” katanya.

Lynas: PAS Pusat akan panggil Dr Che Rosli
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: PAS Pusat akan memanggil Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat (gambar) berhubung kenyataannya mengenai isu Lynas yang disiarkan di TV3, malam tadi dalam Buletin Utama.

Selain itu, PAS Pusat akan turut mendapatkan keterangan berhubung kenyataan beliau yang mengatakan Lajnah Penerangan PAS Pusat melarang beliau mengeluarkan kenyataan tentang nuklear terutama mengenai Lynas.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi menyelesaikan kekusutan yang timbul ekoran kenyataan Dr Che Rosli mengenai perkara itu.

Menurut beliau, sehingga kini beliau selaku Ketua Penerangan PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan sebarang kenyataannya tentang nuklear termasuk berhubung dengan isu Lynas.

Katanya, jadi kenyataan Che Rosli itu ternyata tidak berasas dan sehubungan itu pihaknya perlu memanggil Che Rosli bagi mendapatkan penjelasan daripada beliau sendiri mengenai perkara itu.

"Saya selaku Ketua Penerangan PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan halangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan kenyataan berhubung dengan nuklear. Jadi kita akan panggil Dr Che Rosli untuk mendapatkan penjelasannya," katanya pada majlis tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Dr Che Rosli dalam laporan Buletin Utama TV3 semalam mengatakan beliau sudah lama bersabar dalam perkara itu sebab Penerangan PAS Pusat melarang beliau membuat kenyataan berhubung nuklear termasuk mengenai isu Lynas.

Selain itu, Che Rosli turut mengkritik akhbar rasmi PAS, Harakah kerana bersikap tidak adil terhadap beliau berbanding Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fauziah Salleh yang sering disiarkan kenyataan-kenyataannya berhubung nuklear dan isu Lynas yang bertentangan dengan pendiriannya.

Kenyataan Dr Che Rusli itu amat mengejutkan para pemimpin dan ahli-ahli PAS kerana ia jelas bertentangan dengan pendirian PAS mengenai isu Lynas.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS dan Pakatan Rakyat tetap menolak projek nuklear Lynas di Gebeng, Kuantan kerana memikirkan risiko yang terpaksa dihadapi oleh penduduk negara ini terutama penduduk di kawasan itu.

Risiko yang dikenalpasti bukanlah hanya daripada pancaran radiasi, katanya, malah terdapat banyak potensi risiko yang cukup tinggi ketika pengangkutan bahan mentah yang tiba dari Australia di pelabuhan Kuantan ke tapak kilang LAMP milik Lynas di Gebeng Kuantan.

"Selain itu, risiko yang tinggi juga akan dialami ketika kerja-kerja pemprosesan, simpanan dan pengurusan sisa buangan (pepejal, air sisa dan gas) yang dikenalpasti mempunyai elemen radioaktif di dalamnya," katanya.

Menyedari hakikat itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menegaskan, PAS Pahang tetap konsisten dengan keputusannya sejak dulu yang bersama-sama penduduk di kawasan Gebeng, Kuantan menolak projek nuklear Lynas.

"Malah berdasarkan kenyataan penduduk di kawasan itu, sekiranya Dr Che Rosli yang bersetuju dengan projek itu, jangan sekali-kali dibina di kawasan mereka, tetapi bawalah projek nuklear Lynas itu ke tepi rumah Dr Che Rosli sendiri.

"Kenyataan penduduk di kawasan Gebeng itu perlu difahami dengan jelas oleh Dr Che Rosli. Mereka menentangnya bukan kerana tidak memahami kepentingan nuklear, tetapi tidak yakin dengan pengawalan dan pemprosesannya.

"PAS dan Pakatan Rakyat amat faham perkara itu dan ia juga amat perlu difahami oleh pelbagai pihak. Itulah sebabnya PAS bersama-sama penduduk di kawasan itu konsisten menentangnya sejak dulu," ujar beliau.


Umno hipokrit isu akidah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihat supaya masalah akidah jangan dikorbankan walaupun berlainan ideologi politik menunjukkan Umno hipokrit.

“Sebenarnya nasihat ini patut ditujukan kepada pemimpin Umno yang sedang mempolitikkan isu murtad kebetulan isu ini berlaku di negeri Pakatan Rakyat,” katanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Jika berlaku di negeri yang ditadbir oleh Umno tentunya nada berlainan, katanya.

“Inilah wajah pemimpim umno yang bersikap hipokrit, daripada dahulu sampai sekarang dalam isu agama,” katanya.

Katanya, jika satu isu itu menguntungkan, maka mereka seolah-olah bercakap mempertahankan Islam seolah-olah lanjutan pemerintahan khalifah al-Rasyidin.

Beliau bertanya, mana suara pemimpin Umno apabila Noraishah Bukhari di Johor, Hartina Kamarudin di Perak, Lina Joy di Wilayah Persekutuan yang murtad.

Waktu itu, jelasnya PAS dan NGO lain bangkit menentang, pada ketika itu mungkin Umno belum berjumpa lagi kitab akidah menyebabkan mereka membisu.

Begitu juga dalam politik, katanya ketika bertemu dengan orang bukan Islam mereka menakutkan dasar Islam yang hendak diperjuangkan oleh PAS.

Menurutnya, apabila bertemu dengan orang Islam, mereka mengatakan bahawa PAS sudah tidak berani menegakkan Islam kerana takut kepada DAP dan PKR.

“Inilah contoh hipokrit pemimpin Umno ketika berkempen di dalam pilihan raya, Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri tidak menghalang kerajaan Melaka yang hendak membina Tugu 1Malaysia.

“Bukankah fatwa mengatakan tidak boleh membina tugu?” soalnya.

Katanya, kerajaan pimpinan Umno terus langgar juga fatwa tersebut.

Menurutnya lagi, sikap pragmatis dan hipokrit pemimpin Umno terserlah lagi dalam isu larangan memasang bacaan al-Quran melalui pembesar suara sebelum Subuh yang diarah oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang.

Maka, ujarnya bangkitlah pemimpin Umno menunjukkan kejahilan mereka menentang secara membuta tuli dengan menuduh itu satu lagi penghakisan syiar Islam di bawah pemerintahan Lim Guan Eng.

Pada hal, tambahnya isu itu tidak ada kaitan langsung dengan Pejabat Ketua Menteri.

Begitupun, katanya pemimpin Umno menikus apabila kerajaan Perlis di bawah pemerintahan Umno bersetuju dengan arahan Jabatan Mufti Pulau Pinang.

“Kenapa pemimpin Umno tidak mengamuk kepada kerajaan Perlis?” soalnya lagi.

Jawapannya, kata beliau mudah kerana itu negeri Umno dan jika Umno buat semua kebal.

Beliau bertanya lagi, mana suara pemimpin Umno ketika seorang peguam dan ahli seumur hidup MCA dari Pantai Hill Park tidak berpuas hati dengan berkumandangnya azan di Masjid Al-Khadijah, Kampung Pantai Dalam.

“ Suasananya tentu berlainan jika yang melakukan ini ahli DAP. Pemimpin Umno tidak tahu mana sunat dan mana haram,” ujarnya.


Tazkirah: Muip sepatutnya lebih berakhlak
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 25 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) hari ini melahirkan rasa kesal dan membantah arahan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang melarang penyampaian tazkirah Ramadan di semua masjid dan surau seluruh negeri ini.

Ketuanya, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim, menganggap ‘pengharaman’ berkenaan sebagai satu kejutan baru di Malaysia selepas negara ini diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam.

Kelmarin, Timbalan Pengarah Muip telah muncul di sebuah stesen televisyen dalam slot berita tengah hari mengumumkan larangan mengadakan tazkirah Ramadhan di semua surau dan masjid seluruh negeri Pahang dengan alasan telah menggangu ibadah orang lain dan majlis ilmu.

Difahamkan, kebanyakan masjid di bawah Muip sudah menghentikan majlis tazkirah selepas sembahyang zohor dan sembahyang tarawih.

Shahril dalam edaran medianya yang kesal dengan arahan tersebut, menyoal adakah pengharaman tazkirah ini hanya berdasarkan aduan seorang individu atau Exco kerajaan negeri lalu tanpa sebarang siasatan terus mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah.

“Sepatutnya Muip sebagai sebuah institusi agama yang besar bertindak lebih matang dan berakhlak dengan memanggil penyampai tazkirah untuk menyiasat adakah benar beliau menyampaikan tazkirah yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, bukannya mengharamkan tazkirah dan menyekat majlis ilmu.

“Tazkirah menjadi dimensi untuk mendidik umat Islam secara tidak langsung. Institusi pendidikan bukan sekadar di sekolah, kolej atau universiti semata-mata. Malah masjid, surau dan madrasah menjadi platform menyuburkan Islam sejak zaman berzaman.

“Kemungkinan pula hala tuju larangan itu menjurus kepada tazkirah menjadi ceramah politik. Takkan lah seorang pentazkirah apabila menghuraikan ayat-ayat al-Quran yang mengharamkan riba, rasuah, judi, haramnya bersalam antara lelaki dan perempuan, wajib pakai tudung dan sebagainya sudah dikira mengganggu ibadah orang ramai?” soalnya.

Shahril dalam edaran medianya berkata, kini rakyat bertambah malu untuk menobatkan Malaysia 'Negara Islam' apabila ajaran Islam cuba dihalang oleh orang Islam sendiri, apatah lagi yang menghalang itu sebuah institusi yang bertanggungjawab menjaga agama.

Tambahnya, tazkirah yang diadakan sekadar mengulas ayat al-Quran dibaca ketika solat. Sekiranya menyentuh pelbagai isu mengenai kehidupan manusia, itu realitinya sebuah kitab suci. Al Quran diturunkan dari Allah Taala yang mengatur segala kehidupan manusia.

“Apabila proses memberi kefahaman, ayat-ayat Allah berlaku, orang ramai akan faham maksud isi kandung al-Quran. Ketika sembahyang mereka akan mengingati maksud-maksud ayat yang dibaca imam. Sembahyangnya tentu menjadi lebih khusyuk dan iman semakin menebal.

“Perlu diingat, kejahilan umat Islam dalam menghayati ajaran Islam dalam segala aspek kehidupan boleh menjerumuskan umat Islam kepada gejala murtad. Adakah pihak Muip akan bertanggungjawab di hadapan Allah kelak diatas kejahilan umat Islam di Pahang yang boleh membuka ruang kepada terdedahnya gejala murtad?” soalnya lagi.

Oleh itu, DPPNP membantah keras larangan ini dan mendesak supaya pihak Muip menarik balik larangan tazkirah kerana ia akan menyebabkan orang jahil bertambah jahil dan orang alim membisu, maka ia akan memberi kesan kepada kehancuran sebuah negara.


Pemuda PAS bantah atase pendidikan berpolitik
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat semalam menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi berhubung salah laku seorang pegawai Atase Pendidikan Malaysia (Education Malaysia Egypt) yang bernama Khairi Jalalluddin.

Menurut mereka, Khairi yang juga Ahli Lembaga Kelab Umno Mesir telah banyak melakukan tindakan yang bertentangan dengan etika kerja dan bercanggah dengan profesionalisme tugasnya.

Antara tindakan beliau adalah berusaha memecahkan kesatuan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan mengheret pelajar Perubatan Mesir menyertai Kelab Umno.

Beliau juga didakwa mengadu domba agar pihak duta bertembung dengan mahasiswa.

"Beliau sepatutnya berperanan untuk memberi khidmat dan membantu peningkatan akademi mahasiswa di Mesir, tetapi malangnya beliau pergi untuk berpolitik, mengganggu mahasiswa dan mencetus perbalahan antara pihak mahasiswa dengan pihak kerajaan khasnya kedutaan Malaysia di kaherah Mesir," kata ketuanya Nasrudin Hassan.

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Pusat telah menghantar delegasi yang diketuai oleh Nasrudin sendiri ke Mesir pada 2 Ogos lalu untuk melihat dan meneliti dari dekat aduan dari mahasiswa berhubung isu itu.

Selain itu juga, salah laku dan sikap tidak profesional Khairi turut didedahkan oleh sebuah laman sosial Facebook 'KJ Bocor Fan Club'.

Khairi juga didakwa ada meminta khidmat blogger Umno untuk "menyerang" seorang mahasiswa Mesir yang didakwa penggerak persatuan SUARA yang dilabel mereka sebagai pembangkang.

"Sekiranya Khairi Jalalluddin bertindak seperti yang didedah, DPP Malaysia mendesak dan menggesa supaya Khairi Jallauddin segera dipanggil pulang dan dikenakan tindakan wajar.

"Jika beliau mahu berpolitik dan mempolitikkan mahasiswa, sila letak jawatan sebagai Pegawai Atase Pendidikan dan beliau bolehlah kembali ke Mesir atas nama Ahli kelab Umno Mesir tanpa perlu lagi berselindung di sebalik jawatan kerajaan," gesa Nasrudin lagi.


PAS Pahang bantu keluarga pengedar Harakah
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 25 Ogos: PAS Pahang prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga seorang aktivis PAS yang juga pengedar Harakah daerah ini, Zulhazmi Nuwawi, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, baru-baru ini.

Sedar dengan kesedihan dan keperitan yang ditanggung oleh keluarga berkenaan, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang Hassanuddin Salim, semalam menziarahi sambil menyampaikan sumbangan wang dan barangan di rumah mereka di Taman Pulai Idaman, di sini.

[Gambar: Syed Hamid (kanan) menghulurkan sumbangan kepada Zawiyah, Hassanuddin (tengah) dan anak-anak Zulhazmi.]

Turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada balu Zulhazmi, Zawiyah Udin, 37, ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamad.

Zulhazmi, 40, kembali ke rahmatullah 9 Ogos lalu setelah van dipandunya terbabas di kilometer 74.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Sungai Dua, Karak.

Allahyarham memandu bersendirian dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur setelah membeli barang-barang untuk perniagaannya ketika kemalangan.

Van jenis Nissan Vannete yang dipandu Zulhazmi dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh pokok dan beliau meninggal dunia serta merta di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Bentong.

Jenazahnya sempurna dikebumikan di kampungnya di tanah perkuburan Islam Kuala Kerdau jam 1 pagi pada hari itu juga.

Zulhazmi meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil iaitu Zul Muhammad Syauqi, 11, Zul Muhaimin Syauqi, 10, dan Zul Muzakkir Fakhrin, 8.

Bagi sesiapa yang ingin menyumbang bolehlah menghubungi Zawiyah di talian: 013-3517905.

Tiada ulasan: