Selasa, 2 Ogos 2011

BIAR MENANG BERMARUAH...KALAH PUN BERMARUAH....JANGAN SEBALIKNYA...DUNIA TAK SELAMAT ...AKHIRAT LAGI TAK SELAMAT...ALLAH HUKUM KERANA MENIPU DAN ZALIM

Kemelut pelajar: Kedutaan bukan wakil Umno
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat kesal dengan sikap pihak kedutaan Malaysia di Mesir yang gagal memainkan peranan untuk menjaga kebajikan pelajar di sana.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden kemelut pelajar Malaysia di Mesir yang menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab apabila menyertai himpunan aman Bersih di sana.

“Pihak kedutaan dilihat mewakili Umno dan bukannya rakyat Malaysia. Saya ingin mengingatkan pihak kedutaan dan kerajaan Malaysia bahawa pegawai yang dilantik untuk menguruskan hal ehwal kebajikan pelajar di Mesir adalah lantikan kerajaan dan bukannya lantikan politik.

“Gaji mereka dibayar oleh seluruh rakyat Malaysia dan bukan Umno yang membayarnya,” ujar beliau lagi.

Menurut beliau, pegawai yang dilantik oleh kerajaan hendaklah beramanah dalam menunaikan tanggungjawab yang diberikan dan bukannya menjadi orang suruhan Umno.

“Takutlah doa orang yang dizalimi, di Terengganu kita telah mengadakan solat hajat agar kemelut pelajar kita di Mesir dapat diselesaikan segera,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu.

Mengulas kenyataan pimpinan Umno sejak kebelakangan ini yang mahukan semua komponen BN mendengar rintihan rakyat, katanya ia menunjukkan mereka amat terdesak.

Sehubungan itu, beliau meminta agar pemimpin Umno jangan bercakap bohong kepada rakyat.

Katanya, rakyat sekarang sudah pun tahu bagaimana mereka telah ditipu oleh Umno yang hanya meminta simpati rakyat apabila terdesak sahaja.

Selama ini, ujarnya segala kekayaan negara hanya diagihkan sesama kroni mereka sahaja, habis kekayaan rakyat hanya berkisar kepada individu tertentu sahaja yang mempunyai kepentingan dengan Umno.

“Dengan kekayaan yang dimiliki oleh negara kita , tak sepatutnya kita masih memiliki rakyat yang miskin dengan jumlah yang tak dapat diterima akal.

“Segala kekayaan di dunia boleh kita dapati di Malaysia, tapi amat malang sekali Umno tidak menggunakannya untuk rakyat tetapi sebaliknya mengeksploitasikannya untuk periuk nasi kroni Umno, ahli Umno di Malaysia pun tertindas,” ujar beliau lagi.

Beliau seterusnya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bangkit menentang kezaliman Umno dan sudah tiba masanya saat kejahatan Umno dikuburkan dalam PRU yang akan datang.


Mengapa dulu tak ingat tambah menteri India
Khairil Abdul Rahim

JERANTUT, 2 Ogos: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) melihat pelantikan Presiden MIC Datuk G Palanivel sebagai menteri kedua daripada kaum India dalam kabinet hanyalah untuk memancing undi kaum itu yang mula menolak BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Timbalan Pengerusinya, N Balasubramaniam berkata, sudah begitu lama kaum itu diwakili hanya oleh seorang menteri dalam kabinet kerajaan sehinggalah berlaku perubahan sokongan kepada pembangkang.

“Dulu mengapa tak ingat nak tambah menteri India, mengapa baru sekarang?” soalnya ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melantik Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pengumuman itu dibuat buatnya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan MIC ke-65 di Pusat konvensyen Putrajaya (PICC) Sabtu lalu.

Balasubramaniam yang juga Pengerusi DHPP Pahang berkata, pertambahan satu menteri bukan bermakna membawa pembaharuan kepada kaum India tetapi sebaliknya Palanivel sendiri yang naik pangkat.

“Kalau kita tengok berlaku swing sehingga 70 peratus undi kaum India kepada Pakatan Rakyat pada PRU yang lalu ialah kerana mereka sedar kebajikan mereka tidak lagi dibela oleh BN melalui MIC.

“Orang India merupakan lebih kurang 7 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia iaitu sekitar 1.8 juta. Kebanyakan mereka masih berada di estet atau di pinggir bandar yang masih perlukan bantuan kebajikan dan sebagainya.

“Kalau masyarakat India diberi penempatan seperti tanah, rumah atau sebagai contoh kalau kerajaan beri dana RM50 juta untuk masyarakat India, ia mungkin ada perubahan sedikit.

“Tetapi yang dapat hanyalah menteri. Itu bermakna hanya kenaikan pangkat Palanivel iaitu dulu timbalan menteri sekarang jadi menteri,” ujarnya.

Menurut Balasubramaniam, orang India juga perlukan tanah sama ada untuk tempat tinggal atau bercucuk tanam.

Beliau menceritakan, baru-baru ini ketika Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob datang ke Jerantut, ada ketua cawangan MIC yang minta selesaikan masalah pemohonan tanah yang diusahakan oleh sejak zaman bapa mereka tetapi belum lulus.

“Bukannya orang India minta tanah baru, tapi tanah yang telah lama mereka usahakan. Begitu juga dengan masalah kebajikan kaum,” ujarnya.


Badar serah memo bantah Lynas kepada PM
Helmi Ibrahim

PUTRAJAYA, 2 Ogos: Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) telah melengkapkan proses mewujudkan rantaian komunikasi secara rasmi dengan agensi kerajaan berhubung bantahan rakyat terhadap pembinaan dan pengoperasian loji Lynas di Gebeng dengan mengunjungi Perdana Menteri di Putrajaya pada 29 Julai 2011.

(Rombongan Badar bergambar di depan bangunan JPM di Putrajaya selepas menyerahkan memorandum)

Badar dengan di wakili oleh Pengarahnya Andansura bin Rabu, Haji Zulkefly Omar selaku Penasihat Badar serta lima AJKnya bersama-sama dengan 40 orang penduduk Balok dan sekitarnya hadir seawal pagi di perkarangan Pejabat Perdana Menteri dengan hasrat untuk menyampaikan memorandum bantahan terus kepada Perdana Menteri.

Dalam sidang medianya selepas pertemuan tersebut, Haji Zulkefly memaklumkan bahawa Badar tetap bertegas dengan pendiriannya iaitu menentang sekeras-kerasnya pembinaan dan pengoperasian loji Lynas melalui memorandumnya kepada wakil Perdana Menteri dan berharap agar suara hati penduduk ini sampai ke pengetahuan beliau dan mendapat perhatian sewajarnya.

“Walaupun kita tidak dapat berjumpa secara bersemuka dengan Perdana Menteri pada hari ini tetapi kita tetap berlapang dada dan maklum akan kesibukan beliau dalam menangani pelbagai masalah yang bertimpa akhir-akhir ini. Namun begitu kita mengharapkan beliau tidak terlepas pandang dalam isu yang kronik ini sebelum ianya membarah dan menimpa rakyat dan negara tercinta ini.

“Kita telah menemui semua pihak yang bertanggungjawab dalam isu ini bagi memaklumkan dan menyerahkan Memorandum Bantahan kita seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), MITI, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Menteri Besar Pahang dan akhirnya kepada Perdana Menteri sendiri selaku ketua kerajaan. Kita memahami bidang kuasa setiap jabatan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan dan oleh sebab itulah kita telah turun untuk bertemu dengan semua pihak yang di nyatakan tadi,” jelas Haji Zulkefly.

Mereka berharap suatu tindakan yang konkrit dan pantas dapat di ambil oleh Perdana Menteri selaku rakyat Pahang sendiri yang mana daerah yang di wakili beliau tidak terlalu jauh dengan kawasan tapak loji kontroversi tersebut.

Seterusnya beliau menambah, respon yang di berikan oleh pihak Perdana Menteri amat jauh berbeza dengan sikap Menteri Besar Pahang yang mana beliau tetap menghantar wakil untuk bertemu Badar berbanding tindakan yang di tunjukkan sewaktu mereka mengunjungi pejabat MB Pahang tempohari.

Respon yang di berikan oleh pejabat MB Pahang ternyata jauh berbeza dengan slogan yang di war-warkan iaitu ‘rakyat di dahulukan’ dan sikap tidak bertanggungjawab ini seharusnya menyedarkan rakyat Pahang akan keperluan menilai semula teraju utama negeri mereka.

Beliau juga menasihatkan pegawai kerajaan agar bersikap professional dan berani untuk menerima kunjungan rakyat dan juga mendengar apa sahaja rungutan dan komen dari mereka.

Sebagai “stakeholder” rakyat berhak mendapat penjelasan dan berhak menuntut agar suara mereka di beri perhatian dan pertimbangan sewajarnya.


Umno Pasir Puteh terdesak cipta gimik murahan
Rizal Tahir

PASIR PUTEH, 2 Ogos: “Saya tidak hadir pada majlis Selamat Tinggal PAS dianjurkan Umno, bagaimana pula akhbar menyiarkan saya yang bercakap di majlis itu.

“Macam mana akhbar boleh melaporkan saya yang mengeluarkan kenyataan di majlis berkenaan sedangkan saya tidak ada di situ,” kata Zakaria Mat Husin, 53.

Zakaria diminta menjelaskan laporan sebuah akhbar harian yang mendakwa beliau bersama 20 pengikut menyertai Umno pada majlis dihadiri Ketua Umno Pasir Puteh, Zawawi Othman di Kampung Alor Pasir baru-baru ini.

Lebih aneh lagi Zakaria dilaporkan bercakap kepada pemberita di majlis berkenaan sedangkan beliau tidak berada di situ.

Akhbar terbabit dalam laporannya menyebut Zakaria kononnya mendakwa PAS sekarang seolah-olah tidak yakin dengan perjuangan dan dasarnya sentiasa berubah-ubah.

Sebaliknya Zakaria ketika dihubungi menjelaskan beliau pernah didatangi Zawawi di rumahnya bagi menariknya menyertai Umno sebelum ini.

“Saya mengakui dikunjungi Zawawi untuk mengajak menyertai Umno dan pada masa yang sama ada orang mengambil gambar saya.

”Dia juga ada tanya perhimpunan anjuran Bersih dan peguam Ambiga. Saya pun tak sangka pemimpin Umno itu mendedahkan pula kepada media kehadirannya ke rumah saya kononnya saya mahu masuk Umno.

“Saya tidak jadi penghulu, PAS sokong Ambiga demontrasi Bersih, masalah PAS sendiri antara beberapa soalan yang ditanya Zawawi,” ujarnya.

Oleh itu Zakaria berkata, beliau tidak pasti sama ada program ‘Selamat Tinggal PAS Kami Kecewa PAS Sokong Ambiga’ benar-benar wujud atau rekaan ketua Umno itu semata-mata.

Malah katanya pada pertemuan di rumahnya beliau menegaskan kepada Ketua Umno terbabit sekiranya beliau sertai Umno sudah tentu hanya akan menjadi seperti kain buruk kerana sudah banyak berlaku kepada orang lain.

Sementara itu Setiausaha PAS Kawasan Pasir Puteh, Drs Zainuddin Awang Hamad berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar yang menyiarkan berita berunsur fitnah terhadap Zakaria.

Menurutnya, tindakan Zawawi dianggap sebagai terdesak untuk meraih sokongan sehingga perkara yang tidak pernah berlaku direka demi politik murahannya.

Dalam laporan akhbar terbabit juga ketua Umno Pasir Puteh itu mendakwa lebih 3,000 penyokong PAS menyertai Umno kebelakangan ini.

Zawawi yang juga bekas guru sebelum ini dikatakan memperalatkan Pejabat Pelajar Daerah bagi memaksa guru-guru hadir pada perlancaran gelombang merah di Pasir Puteh.

Malah dalam banyak laporan media proUmno sebelum ini, di mana sahaja beliau pergi tentunya ada program penyokong PAS menyertai Umno.

Ramai melihat Zawawi terpaksa mempopular dirinya memandangkan kedudukannya sebagai ketua bahagian tergugat dijangka dicabar pemimpin lain yang lebih berwibawa dan berpendidikan tinggi.

Seorang penyokong Umno yang rapat dengan Timbalan Ketua Baagian Pasrr Puteh, Rujhan Salleh mengakui Zawawi hanya lulusan Maktab Perguruan tidak sesuai berada di kedudukan sekarang.


Kemelut Dawama bukti penswastaan BN gagal

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Tindakan Dawama Sdn Bhd memberikan notis cuti tanpa gaji kepada 380 pekerjanya ekoran masalah kewangan membuktikan projek penswastaan kerajaan BN menemui kegagalan.

Dawama, syarikat konsesi mencetak dan mengedar buku dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam notisnya kepada pekerja minggu lalu mendakwa tindakan itu diambil kerana pertikaian dengan DBP, agensi di bawah Kementerian Pelajaran.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang mengecam tindakan Dawama itu berkata, kerajaan harus mengkaji semula projek penswastaan dan menghentikan penswastaan yang melanggar prinsip perniagaan.

"Banyak projek penswastaan yang diterajui oleh kerajaan pusat menemui kegagalan dan ini (Dawama) salah satu contoh penswastaan yang tidak mematuhi prinsip perniagaan yang akhirnya akan membebankan pekerja.

"Projek penswastaan harus dihentikan dan dikaji semula kerana sewajarnya ia memberikan perkhidmatan yang lebih baik, menjamin kebajikan pekerja, mengangkat taraf sosio ekonomi, tapi apa yang berlaku projek penswastaan hanya menguntungkan kroni kerajaan tapi pekerja dinafikan hak mereka," kata beliau kepada pemberita di hadapan ibu pejabat Dawama, Hulu Klang selepas menemui pekerja Dawama yang diarah bercuti berkuat kuasa semalam.

Beliau juga berkata, sekiranya kemelut ini tidak selesai dalam masa terdekat, Pakatan Rakyat akan membawa isu ini ke sidang Dewan Rakyat Oktober ini.

"Saya akna meneliti memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Pelajaran dan akan bawa ke Parlimen.

"Kita nak tahu betul ke Dawama menghadapi masalajh kewangan dan minta kementerian terbabit bentangkan akuan Dawama di Parlimen," kata beliau yang juga ahli Parlimen Gombak.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Sdn Bhd, Zainal Awit (kanan) pihaknya telah empat kali menyerahkan memorandum kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin namun belum ada sebarang maklum balas.

Bercakap pada sidang media sama, beliau sekali lagi merayu Muhyiddin mengambil tindakan segara bagi menyelesaikan kemelut yang melanda di antara Dawama dan DBP.

"Kami para pekerja berasa tertekan dengan tindakan pihak Dawama memberi cuti tanpa gaji kepada kami dan bayangkan bagaimana anak-anak kami hendak menghadapi bulan Ramadhan dan hari raya akan datang.

"Kami merayu kepada pihak menteri supaya serius dan tolonglah campur tangan dalam masalah ini," katanya.

Ekoran tiada respons daripada pihak Muhyiddin, Pengarah Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani berkata beliau akan mengetuai beberapa wakil kesatuan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) di bawah Kementerian Sumber Manusia hari ini.

Ini kerana katanya Dawama tiada hak memberikan notis bercuti tanpa gaji kepada pekerja sebelum melunaskan bayaran tertunggak.

Difahamkan, sudah beberapa bulan Dawama tidak melaksanakan potongan Socso dan EPF kepada pekerjanya.

"Tindakan ini satu pencabulan undang-undang. Pemotongan Socso dan EPF yang tidak dilunaskan telah langgar seksyen 24 Akta Kerja 1955 jelas boleh dihukum.

"Saya mohon pihak berwajib menghukum syarikat ini kerana mengkhianati undang-undang negara.

"Saya terkejut pelangaran ini dibuat secara biadap dan tidak boleh berlaku dalam seksyen 10 Akta Kerja 1955," katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Langat.

Sehubungan itu, beliau bersama beberapa wakil kesatuan ke Putrajaya sejurus sidang media tadi bagi mencari jalan penyelesaian.

Sementarai itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang turut bersama mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tampil membela kaum wanita yang turut terjejas akibat tindakan Dawama itu.

"Sekurang-kurangnya 100 pekerja wanita di sini. Saya desak Sharizat yang kononnya sangat menyokong penglibatan wanita dalam bidang ekonomi sebanyak 30 peratus tampil dan saya nak tanya apakah pembelaan yang beliau berikan kepada pekerja wanita ini?" soalnya yang juga ahli Parlimen Ampang.


Jangan bazir duit rakyat beli plat kenderaan
Ahmad Danial

MELAKA, 2 Ogos: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Muhammad Aizat Baharuddin kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang dilihat ingin melakukan pembaziran yang besar mengenai pembelian tender nombor pendaftaran kenderaan kerajaan.

Aizat berkata maklumat pembelian tender nombor pendaftaran kereta itu diperoleh dari Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka yang menyatakan bahawa sejumlah RM317,000 tender telah dibuat atas nama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.

"Ianya melibatkan perbelanjaan tender nombor pendaftaraan kereta yang bernombor MCC 1 sehingga MCC 15.

"Bayangkan RM317,000 duit rakyat digunakan untuk tender nombor pendaftaran kereta, ianya tidak masuk akal dan ianya suatu pembaziran duit rakyat?" kata Aizat.

Beliau berkata, kerajaan negeri seharusnya dapat membezakan antara keperluan dan kehendak rakyat bukannya membelanjakan duit rakyat sesuka hati.

Katanya, pembelian nombor kenderaan langsung tidak memberi faedah kepada rakyat, lebih-lebih lagi ianya melibatkan kos yang besar.

Tambahnya, kerajaan perlu memikirkan nasib rakyat Melaka yang rata-rata hari ini masih belum berada pada taraf hidup yang memuaskan.

Menurutnya, masih ramai lagi di kawasan luar bandar di Melaka hidup miskin, buktinya dengan program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kerajaan negeri sendiri laksanakan ketika Pilihan Raya Kecil di Merlimau dahulu.

"Rakyat Melaka juga masih terbeban dengan kenaikan harga barang, dan baru-baru ini kerajaan negeri juga telah menaikkan tarif air sebanyak 20%," ujar Aizat lagi.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS Melaka menggesa agar kerajaan negeri membatalkan tender untuk mendapatkan nombor plat tersebut kerana ianya tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat, banyak lagi program-program yang menguntungkan rakyat boleh dilaksanakan dengan wang sejumlah RM317,000 tersebut.

Baru-baru kerajaan negeri menukar kereta rasmi kerajaan dari Proton Perdana kepada Nissan Teana.

Kemungkinan besar plat itu akan digunakan oleh kereta rasmi kerajaan tersebut.


Suruhanjaya perlu siasat Pagi MyPR petang MyKad?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Pelbagai pihak melahirkan rasa terkejut mereka dengan pendedahan bahawa seorang penduduk tetap bernama Mismah adalah berstatus penduduk tetap paginya sudah berubah kepada warga negara pada petangnya.

Ekoran itu, Suhaizan Bin Kaiat, Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia menuntut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan penjelasan.

Dewan Pemuda PAS, katanya, mendesak agar suatu siasatan dibuat berhubung dengan kejadian ini.

"Suatu Suruhanjaya Di Raja perlu dibentuk dengan segera bagi menyiasat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) berhubung dengan isu yang cukup memalukan negara ini," kata beliau dalam kenyataannya.

(Kad MyPR Mismah pada sebelah pagi)

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) wajib dipersoalkan bagaimana mudahnya menjadi warganegara Malaysia pada waktu ini, katanya kepada Harakahdaily.

Malaysiakini mengeluarkan berita “PR Didaftar Sebagai Pengundi” pada jam 1.06 petang, 2hb Ogos 2011.

Pada masa tersebut individu bernama Mismah no kad pengenalan 640704715238 adalah berstatus Permastautin Tetap(PR).

Menariknya menjelang jam 2.30 petang hari yang sama selepas berita Malaysiakini dikeluarkan maka status Mismah sudah bertukar menjadi warganegara Malaysia.

Kad Pengenalan di bawah di salin pada jam 1.06 petang 2hb Ogos 2011 :

Kad Pengenalan sudah bertukar menjadi biru pada jam 2.30 petang hari yang sama 2hb Ogos 2011 setelah Malaysiakini mengeluarkan berita pada jam 1.06 petang. Ini memberi maksud bahawa Mismah menjadi warganegara dalam beberapa jam sahaja.


(Kad MyKad Mismah pada sebelah petang selepas dibuat laporan pada sebelah paginya)

Nama Mismah terdapat dalam WEB SPR sebagai “Sedang Dalam Pameran Rang” seperti di bawah :

Mismah adalah individu yang telah daftarkan sebagai pengundi di Dun Ijok, Selangor walaupun beliau adalah seorang PR. Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) sedang mempamerkan maklumat bakal-bakal pemilih di seluruh negara sekarang ini.

Dewan Pemua PAS, kata Suhaizan, sebenarnya telah mengesan lebih awal bagaimana PR khususnya daripada Indonesia telah didaftarkan sebagai pengundi. Mereka di daftarkan hampir di setiap negeri.

(Keratan semakan dengan SPR status Mismah sebagai pengundi)

"Kita telah memuat turun data-data kad pengenalan PR dengan banyak sekali. Dewan Pemuda PAS sudah menjangkakan sama ada “server” JPN akan di tutup atau PR ini akan bertukar menjadi warganegara dalam sekelip mata.

"Ternyata jangkaan Pemuda PAS benar apabila Malaysiakini mengeluarkan berita pada jam 1.06 maka status PR dengan mudah bertukar kepada warganegara. Ini lah bukti yang jelas bahawa negara Malaysia dalam keadaan yang cukup merbahaya apabila status warganegara dipermainkan oleh pihak berkepentingan dalam negara ini," katanya.


Ampun Tuanku, Patik pohon tolak bubar Parlimen

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Parlimen selagi lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih 2.0 tidak dipenuhi.

"Isu yang mendesak kini ialah ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.

"Apabila daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing, ia jelas merupakan ancaman serius kepada kedaulatan negara dan keselamatan negara selain dari pencabulan hak asasi warganegara Malaysia sendiri," tegas beliau ketika menuntut supaya SPR menjelaskan bagaimana daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing yang hanya memiliki status penduduk tetap sahaja.

Mahfuz menyifatkan pendedahan itu sebagai bukti yang tidak boleh disangkal lagi bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan SPR tidak habis-habis membohongi rakyat Malaysia apabila berulang kali mendakwa bahawa daftar pemilih yang ada sudah dibersihkan.

"Kita boleh terima kalau nama orang yang baru sahaja seminggu dua meninggal dunia masih ada dalam daftar pemilih walaupun zaman sekarang zaman teknologi yang membolehkan nama si mati dibuang hampir serta merta dari daftar pemilih.

"Tetapi kebanjiran begitu banyak warga asing bukan lagi perkara yang boleh dikompromikan. SPR boleh dituduh terang-terangan terlibat membiarkan kedaulatan dan keselamatan negara ini terancam.

"Sebagai agensi kerajaan, SPR tidak sepatutnya dilihat menjadi pihak yang mengancam kedaulatan dan keselamatan negara," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Antara lapan tuntutan bersih ialah supaya SPR membersihkan daftar pengundi. Tuntutan-tuntutan lain ialah mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

"Sebab itulah kita mohon Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu campur tangan antaranya tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan parlimen selagi tuntutan Bersih tidak dipenuhi.

"Kini semakin terbukti, keengganan SPR membersihkan daftar pengundi sudah sampai ke peringkat mengancam kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing dalam daftar tersebut.

"Jangan sampai nanti orang melihat SPR bukan sahaja tidak mahu membersihkan daftar pemilih malah menjadi dalang utama yang mengotorkan daftar itu dengan kebanjiran warga asing tersebut," kata Mahfuz.

Kebanjiran warga asing dalam daftar pemilih itu didedahkan oleh blog Perisik Rakyat (http://www.perisik-rakyat.com).

Blog itu mendedahkan sehingga 169 nombor Kad Pengenalan Pemastautin tetap Bukan Warganegara Malaysia yang dikesan telah didaftarkan sebagai pengundi di Malaysia.

Namun begitu, menurut siasatan Harakahdaily, tidak semestinya nombor kad pengenalan yang mempunyai angka -71- di tengah adalah warga asing. Ini kerana, angka -71- di tengah menunjukkan lahir di luar negara.

Menurut pendedahan Perisik Rakyat, antara warga asing yang didaftarkan sebagai pengundi bernama Mismah.

Menurut laporan Malaysiakini pula, Mismah diterima sebagai pengundi baru di Ijok, di mana Ahli Dewan Undangan Negerinya ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimennya ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dzulkelfy Ahmad.

Menurut Malaysiakini, Mismah didaftarkan dalam daftar pemilih tambahan sekarang dan sedang dipamer kepada awam untuk diteliti.

Semakan dalam melalui sistem pengesahan dalam talian JPN dan SPR mengesahkan dakwaan itu.

Sistem JPN yang membenarkan pengguna menyemak status individu dengan memasukkan nombor kad PR, menunjukkan Mismah (640704715238) seorang penduduk tetap.

Tiada ulasan: