Selasa, 2 Ogos 2011

BILA YANG DUDUK DAN PEGANG JAWATAN ITU TIDAK TAKWA..DAN TAK AMANAH@BUKAN AHLI..... LAGI JAHIL AGAMA...TUNGGULAH KEMUSNAHANNYA....

Ampun Tuanku, Patik pohon tolak bubar Parlimen
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Parlimen selagi lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih 2.0 tidak dipenuhi.

"Isu yang mendesak kini ialah ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.

"Apabila daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing, ia jelas merupakan ancaman serius kepada kedaulatan negara dan keselamatan negara selain dari pencabulan hak asasi warganegara Malaysia sendiri," tegas beliau ketika menuntut supaya SPR menjelaskan bagaimana daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing yang hanya memiliki status penduduk tetap sahaja.

Mahfuz menyifatkan pendedahan itu sebagai bukti yang tidak boleh disangkal lagi bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan SPR tidak habis-habis membohongi rakyat Malaysia apabila berulang kali mendakwa bahawa daftar pemilih yang ada sudah dibersihkan.

"Kita boleh terima kalau nama orang yang baru sahaja seminggu dua meninggal dunia masih ada dalam daftar pemilih walaupun zaman sekarang zaman teknologi yang membolehkan nama si mati dibuang hampir serta merta dari daftar pemilih.

"Tetapi kebanjiran begitu banyak warga asing bukan lagi perkara yang boleh dikompromikan. SPR boleh dituduh terang-terangan terlibat membiarkan kedaulatan dan keselamatan negara ini terancam.

"Sebagai agensi kerajaan, SPR tidak sepatutnya dilihat menjadi pihak yang mengancam kedaulatan dan keselamatan negara," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Antara lapan tuntutan bersih ialah supaya SPR membersihkan daftar pengundi. Tuntutan-tuntutan lain ialah mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

"Sebab itulah kita mohon Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu campur tangan antaranya tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan parlimen selagi tuntutan Bersih tidak dipenuhi.

"Kini semakin terbukti, keengganan SPR membersihkan daftar pengundi sudah sampai ke peringkat mengancam kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing dalam daftar tersebut.

"Jangan sampai nanti orang melihat SPR bukan sahaja tidak mahu membersihkan daftar pemilih malah menjadi dalang utama yang mengotorkan daftar itu dengan kebanjiran warga asing tersebut," kata Mahfuz.

Kebanjiran warga asing dalam daftar pemilih itu didedahkan oleh blog Perisik Rakyat (http://www.perisik-rakyat.com).

Blog itu mendedahkan sehingga 169 nombor Kad Pengenalan Pemastautin tetap Bukan Warganegara Malaysia yang dikesan telah didaftarkan sebagai pengundi di Malaysia.

Namun begitu, menurut siasatan Harakahdaily, tidak semestinya nombor kad pengenalan yang mempunyai angka -71- di tengah adalah warga asing. Ini kerana, angka -71- di tengah menunjukkan lahir di luar negara.

Menurut pendedahan Perisik Rakyat, antara warga asing yang didaftarkan sebagai pengundi bernama Mismah.

Menurut laporan Malaysiakini pula, Mismah diterima sebagai pengundi baru di Ijok, di mana Ahli Dewan Undangan Negerinya ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimennya ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dzulkelfy Ahmad.

Menurut Malaysiakini, Mismah didaftarkan dalam daftar pemilih tambahan sekarang dan sedang dipamer kepada awam untuk diteliti.

Semakan dalam melalui sistem pengesahan dalam talian JPN dan SPR mengesahkan dakwaan itu.

Sistem JPN yang membenarkan pengguna menyemak status individu dengan memasukkan nombor kad PR, menunjukkan Mismah (640704715238) seorang penduduk tetap.


Najib tidak ada keyakinan diri
Panah Hitam

Kegagalan Perdana Menteri Najib Tun Razak untuk mengadakan Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) yang beliau sendiri sibuk menguar-uarkan itu pada 6 bulan yang pertama tahun ini telah memberi satu gambaran yang jelas kepada orangramai bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang kurang keberkeyakinan.

Jika beliau adakan PRU-13 sebelum bulan Julai tahun ini terutamanya pada bulan Mac, pasti beliau akan menang besar sebab pada masa itu Pakatan Rakyat (PR) masih kucar-kacir dan belum dapat berdiri di atas tapak yang kukuh lagi. Masa itu Bersih 2.0 belum pun memaparkan tuntutannya kepada kerajaan.

Namun demikian, Najib menlengah-lengahkan sampai sekarang. Itu bukan satu langkah yang bijak sebab selepas pemilihan parti yang diadakan oleh PAS, PAS telah bertambah kuat sementara PKR dan DAP masing-masing telah pun mengorak langkah untuk memperbaiki kedudukan mereka. Kini ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat sekarang telah berada diatas 'terra firma' atau permukaan bumi yang kukuh, dalam Bahasa Inggeris dikatakan berada 'on solid ground'.

Ini semua disebabkan oleh PM Najib sendiri yang tidak berani menebang pokok, mengikut kata peribahasa Cina. Apabila seseorang hendak menebang pokok, kapak yang dihayunkannya mesti sampai tepat untuk memukul sasaran tetapi Najib hanya berani menghayun kapak 'halfway' dan selepas itu menarik balik pergerakannya semula. Ini bererti beliau tidak berani 'go for it', seperti setengah orang yang suka cakap-cakap dan bermegah-megah tetapi pada masa yang ditetapkan untuk beraksi, orang itu pergi berkelah di tepi pantai ataupun duduk dalam rumah sahaja.

Najib sekarang cuba membuat sesuatu untuk mengawal kenaikan harga barang yang masalahnya semakin bertambah teruk. Tetapi kenyataan dari kerajaan menunjukkan bahawa tiada satu orang pun mempunyai rangka pelan yang jelas. Semuanya samar-samar, kabur dan tidak mempunyai halatuju. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan langsung tiada idea bagaimana hendak mengatasi masalah ini, seperti sebuah bahtera tanpa pengemudi.

Oleh kerana masalah harga barang naik, Najib tidak berani mengadakan PRU-13. Ini memang akan memberikannya imej sebagai seorang pemimpin yang kurang keberkeyakinan. Berbanding dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, walaupun dengan caranya yang tersendiri dan tunggang-langgang, Badawi bagaimanapun telah berjaya menetapkan tarikh pilihanraya umum.

Dengan pendirian sebegini, ramai rakyat Malaysia terutamanya dari golongan yang miskin dan berpendapatan rendah hanya boleh tunggu, lihat, harap dan berdoa. Ramai daripada mereka pun telah menggelengkan kepala tanda rasa kecewa dengan Kerajaan BN.

PANAH HITAM, 2hb Ogos 2011


SPR, SPRM: Tiada lagi kepercayaan awam
Ahmad Lutfi Othman
Tidak mudah untuk menganalisis perkembangan politik tanahair mutakhir ini. Namun, untuk membiarkannya berlalu begitu sahaja, tambah membebankan. Wartawan harus terus mencatat,'kan? Kita berada di ambang perubahan dan bakal merakam sejarah yang lebih manis daripada tsunami politik 2008.

Ramai boleh bersetuju bahawa demam pilihan raya sudah berjangkit ke Malaysia. Lawatan Pengerusi BN, Najib Razak ke seluruh negara berkempen mencemuh pembangkang, dengan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, semakin rancak. Timbalannya, Muhyiddin Yassin turut memperlengkap misi; kedudukan BN kian goyah, namun difahamkan budaya cah keting di peringkat tertinggi Umno terus merebak.

Najib pasti mahu mengelak daripada menjadi PM terakhir daripada Umno, dengan menggunakan apa juga kaedah, memperkakaskan apa jua kemudahan, tanpa mempedulikan kos yang bakal dihanguskan. Sentuhannya kerap tidak menjadi, malah bermacam-macam slogan muluk ciptaannya memakan diri.

"Tiada beza antara Najib dan pendahulunya, Abdullah Badawi. Masing-masing hanya ghairah bercakap hal yang besar-besar dan menabur berjanji, tetapi hasilnya kosong," kata seorang pembaca Harakah kepada saya. "Kalau ada pun yang berbeza, mungkin cakap Najib nampak lebih berisi, namun natijah akhirnya sama, kosong."

Semasa parti-parti komponen BN, terutama MCA, Gerakan dan MIC, masih gagal memperbaiki imej, hubungan Umno dengan rakyat nampak semakin longgar. Sokongan akar umbi, termasuk di desa dan kampung-kampung dilihat merosot. Kenaikan harga barangan keperluan asas begitu menjerut leher golongan terbanyak. Jurang maklumat yang menguntungkan BN selama ini berjaya didekatkan.

Projek-projek mega yang diumumkan Najib menaikkan lagi kemarahan orang ramai, apatah lagi dengan kisah sensasi isterinya Rosmah Mansor; terkini dengan cincin berlian RM24.4 juta dan sebelumnya dengan cerita penguasaan melampau Rosmah ke atas pentadbiran kerajaan. (Derita Abdullah yang pernah tertekan dengan isu hampir sama -- berkaitan menantu dan kroninya -- bakal menyeksa Najib). Rosmah umpama duri dalam daging yang paling sukar ditangani PM!

Kehidupan majoriti rakyat kian terhimpit, tidak kira di pedalaman mahupun kota besar. Soalnya, apakah mereka yakin Pakatan Rakyat mampu menawarkan formula penyelesaian? Tawaran Buku Jingga diperkatakan di mana-mana tetapi tentunya kepercayaan rakyat tidak sekadar pembentangan dokumen ringkas itu. Sekali lagi isu kepercayaan awam menjadi perdebatan.

Apa pun, tanpa meremehkan persiapan pilihan raya di bandar-bandar besar, yang membabitkan kelas menengah Melayu dan masyarakat Tionghua, tumpuan gerakerja Pakatan tidak dapat lari daripada mendekati dengan lebih jujur dan akrab komuniti kampung-kampung tradisi. Sensitiviti dan aspirasi mereka mungkin berbeza. Kesedaran berpolitik masih menjadi isu besar.

Ada pandangan popular Parlimen akan dibubarkan pada Oktober depan. Sekurang-kurangnya untuk mengesan kelemahan jentera pilihan raya Pakatan, elok tarikh itu disandarkan bagi menilai keberkesanan persiapan. Dengan jangkaan tempoh kempen akan disingkatkan (ingat tuntutan Bersih agar 21 hari diberikan), fokus patut diberikan di kawasan yang memerlukan masa lebih lama untuk menemui pengundi.

Kepada Harakah, ada yang mengingatkan saya: "Tempoh tiga bulan terakhir ini cukup kritikal. Harakah harus ada perancangan strategik. Usah bazirkan ruang akhbar yang terbatas itu. Bekalkan pembaca dengan informasi dan pendedahan berguna. Isu mesti disokong fakta dan data lengkap, dengan persembahan grafik yang menarik."

Dalam pada itu, saya bersetuju dengan pandangan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bahawa isu sebenar berkaitan himpunan Bersih 2.0 dan riuh-rendah serangan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah kepercayaan rakyat. Saya sering membangkitkan peruntukan Perkara 114(2) Perlembagaan yang mengkehendaki Yang di-Pertuan Agong membantu SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM.


"Itulah sebabnya yang sebenar, bukan soal dakwat kekal atau biometrik. Isunya adalah kepercayaan kepada SPR," kata Saifuddin. Jika SPR menggunakan teknologi apa sekalipun, tambahnya, selagi masalah kepercayaan terhadap suruhanjaya itu belum diatasi, ia tetap tidak akan dipercayai.

Lebih memburukkan imej SPR apabila Timbalan Pengerusinya, Wan Ahmad Wan Omar dikatakan antara orang paling dipercayai Najib, yang diamanah menjalankan "misi sulit", dengan sokongan pelbagai kemudahan, bagi memenangkan BN dalam PRU13. Tindak-tanduk Wan Ahmad menguatkan lagi syak itu.

Kepercayaan awam kepada SPR, apatah lagi bagi parti-parti pembangkang, yang sedia tercalar, kini hampir musnah. Saya masih mengharapkan Agong dapat menggunakan kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan untuk menjernihkan keadaan. Keanggotaan SPR mesti dirombak dan dibarisi tokoh-tokoh yang diyakini rakyat.

Secara peribadi, saya lebih suka membayangkan Pakatan dalam "kedudukan terburuk" agar penambahbaikan dapat dilakukan sebelum terlambat. Saya turut perhatikan selama ini pemimpin DAP jarang melahirkan optimisme mereka menjelang pilihan raya. Ternyata mereka begitu berhati-hati sekali.

Namun, pendirian terbaru Lim Kit Siang cukup menarik: "... saya akan katakan buat pertama kali, mengambil-alih kuasa kerajaan pusat, bukan lagi mustahil, ia boleh dicapai."

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, beliau yang aktif berpolitik sejak 1969 menekankan: "Nampaknya PM dan kerajaan sekarang gagal melihat dan menyelami kehendak rakyat... Makin hari mereka makin terpisah, (kerajaan pula) mengambil tindakan yang memutuskan mereka daripada sokongan akar umbi."

Selain isu kos hidup yang terus meningkat, juga keberanian rakyat dalam himpunan Bersih 9 Julai, dan gelagat "Wanita Pertama" Rosmah yang memburukkan lagi persepsi terhadap Najib, saya perhatikan kematian Teoh Beng Hock tetap menjadi isu besar dalam kempen PRU13 nanti.

Malah, jika diteliti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD), jelas sekali imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada pada kedudukan hampir sama dengan SPR. Sekadar membelek sambil lalu laporan tersebut, saya kira sudah dapat merumuskan bahawa banyak sekali penyelewengan dan salahguna kuasa pegawai SPRM yang terbabit.

SPR dan SPRM, dalam aspek tertentu, tidak lebih daripada satu lagi perkakas Umno-BN untuk mengekalkan kuasa. Personaliti keji Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim bersama dua lagi pegawainya yang terbabit secara langsung dalam siasatan terhadap Beng Hock membayangkan hubungan istimewa mereka dengan aktor-aktor politik, sekali gus menguatkan lagi dakwaan bahawa ia selari dengan usaha BN merampas Selangor.

Memetik perenggan 176, laporan SSD itu: "Kami mendapat bahawa dia (Hishamuddin) seorang yang angkuh, bercakap bohong, tidak jujur dan tidak akan bertolak ansur ..." Tentulah ada sesuatu yang menarik untuk dibongkar apabila beliau dilihat mempunyai imuniti dan kuasa tidak terbatas.

Insya-Allah saya cuba menganalisis laporan SSD itu pada tulisan akan datang.

Tiada ulasan: