Ahad, 21 Ogos 2011

BUATLAH JANJI..ITU POLITIK MENAMBAT PENGUNDI..DAH MENANG BUAT..JANGAN TAK BUAT..JANGAN GILA PROJEK DAN TENDER..KERJA TUK ALLAH BUKAN TUK DIRI SENDIRI

Apa pula pendirian Umno-MCA dalam isu Jais?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Ogos: Dalam keseronokan menyerang PAS secara bertubi-tubi dalam isu tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyiasat Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU), rakyat masih tertanya-tanya apakah pendirian sebenarnya Umno Barisan Nasional dalam isu ini pula.

“Apakah pendirian rasmi Umno Barisan Nasional dalam isu ini? Satu belah, Umno menuduh PAS tidak menjaga aqidah umat Islam, rakan baiknya MCA pula menuduh PAS untuk perkara sebaliknya sehingga merestui pencerobohan gereja,” soal Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Masih segar dalam ingatan ialah rakan terbaik Umno, MCA – parti yang disokong Umno untuk menyaman kerajaan Kelantan dalam isu mengharamkan judi melalui Presidennya Datuk Seri Chua Soi Lek dalam kenyataannya yang dipetik Harian Metro telah secara terbuka mengutuk tindakan Jais dalam menyiasat GMDU sebagai satu tindakan yang memalukan.

Dr Chua turut dipetik sebagai berkata Jais, yang terletak di bawah bidang kuasa anggota exco daripada PAS Datuk Dr Hassan Ali perlu memberi penjelasan tentang isu itu dan memohon maaf kerana menceroboh premis gereja berkenaan serta kelemahan pihaknya mengendalikan perkara itu.

“Kejadian ini menunjukkan bahawa PAS tidak liberal seperti yang didakwanya,” tambah Chua sebagaimana yang dilaporkan media.

Selain itu, Naib presiden MCA, Gan Ping Sieu pula berkata, tindakan para pegawai Jais itu mencerminkan sikap pakatan pembangkang yang berfikiran sempit serta tebal dengan semangat kedaerahan.

Sejak penubuhan PAS, kata Tuan Ibrahim, rata-rata umat Islam tahu parti sentiasa berpendirian dengan tegas bagi mempertahankan aqidah umat Islam, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti sehinggakan hari ini Umno and MCA masih menakutkan umat Islam dan bukan Islam bahawa kita satu parti yang ekstemis dalam mempertahankan aqidah umat Islam – tak boleh judi, tak suka arak, membanteras murtad dan sebagainya.

Disebabkan ketegasan PAS dalam isu membanteras murtad, kata Tuan Ibrahim PAS telah mengesa agar Jais agar mengambil tindakan segera sekiranya cukup bukti selaras dengan peruntukan perlembagaan negara dan undang-undang tubuh kerajaan Selangor untuk mendakwa mereka yang bersalah di mahkamah.

“Disebabkan kekurangan maklumat, dan juga first-hand news, PAS turut mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan kedua-dua pihak, Jais dan GMDU, tapi malang, kedua-duanya memilih untuk menangguhkan perjumpaan. Akan tetapi, pada masa yang masa, bukti-bukti Jais pula mula terledak di Internet walaupun ia sepatutnya rahsia sehingga pendakwaan dibuat di mahkamah.

Bahkan, lidah rasmi kami Harakahdaily sudahpun melaporkan bahawa terdapat percanggahan antara apa yang dinyatakan oleh pegawai gereja GMDU bahawa majlis makan malam anjuran Harapan Komuniti tidak mempunyai kaitan dengan agama dengan bukti video Jais ketika menyiasat di majlis makan malam GMDU yang kini hangat dipertontonkan di internet,” terang beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Berikutan ledakan bukti video penyiasatan Jais di internet, Tuan Ibrahim berkata PAS kini mempunyai dua persoalan utama dalam kontroversi ini.

“Mengapa Jais masih berlengah-lengah untuk bertindak, dan juga kesunyi-sepian gereja mengenai percanggahan kenyataan pihak gereja dengan video penyiasatan Jais yang kini tersebar luas – namun keduanya tidak mempunyai jawapan sehingga ini PAS masih tidak dapat bertemu dengan kedua-dua pihak,” soal beliau.

Walaupun telah membuat pendirian tegas dalam isu Jais ini dan juga menunjukkan keadilan dalam Islam sebenar dalam mencari penyelesaian adil dalam isu ini, namun kata Tuan Ibrahim media pro Umno sehingga hari ini masih mendesak PAS untuk menyatakan pendirian.

“Sebaliknya, rakyat masih sehingga hari ini tak tahu apa pula pendirian BN, khususnya Umno dan MCA dalam isu ini selain sibuk menyerang PAS? Ada sesiapa dari seberang sana boleh menjawab?” tanya beliau.


Al Quran di Malaysia hanya sekadar dimusabaqah
M Faqih

KOTA BHARU, 21 Ogos: Setiap kali tiba 17 Ramadan umat Islam di seluruh dunia diingatkan peristiwa Nuzul al Quran, turunnya kitab suci kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Tidak terkecuali juga di Malaysia, malah dijadikan cuti umum di kebanyakan negeri.

Biar pun lebih 1400 tahun al Quran diturunkan sebagai panduan bagi kehidupan manusia, malangnya di negara kita ia hanya sekadar dimusabaqahkan saban tahun.

“Musabaqah yang dianjurkan kerajaan sekadar untuk berlagu sahaja. Musabaqah hendak amalkan ajaran al Quran tidak ada,” kata pendakwah terkenal, Datuk Zawawi Yusof.

Menurutnya kesilapan yang berlaku itu berterusan sehingga ke hari ini.

Berlainan di Kelantan apabila kerajaan negeri bersungguh-sungguh mahu amalkan ajaran yang terkandung dalam al Quran.

Berbicara pada program Nuzul al Quran anjuran kerajaan negeri di Qaryah Ramadan baru-baru ini katanya juga, umat Islam sekarang lebih suka berbicara perkara-perkara yang kecil seperti memperdengarkan bacaan al Quran melalui pembesar suara sebelum solat Subuh.

“Sedangkan tuntutan yang lebih besar iaitu kewajiban melaksanakan Hudud dibiarkan. Sikap umat Islam sekarang perkara yang betul tidak dibuat secara betul-betul.

”Sebaliknya perkara tidak betul dibuat secara betul-betul (bersungguh-sungguh). Contohnya banyak berlaku dalam masyarakat sekarang,” ujarnya.

Hujah kepentingan penghayatan al Quran dalam kehidupan manusia dipertegaskan lagi Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dengan mengatakan al Quran bukan sekadar untuk dibaca, sebaliknya diamalkan dalam kehidupan manusia.

”Manakala bagi mereka yang membaca al Quran hendaklah meningkatkan lagi darjah dengan belajar memahami dan mengamalkan segala ajaran yang terkandung dalam al Quran,” katanya.

Sementara itu pada program pengkisahan Badar Qubra di lokasi sama malam tadi Speekar Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud berkata, mereka yang melawan perjuangan Islam melakukan pelbagai cara dan muslihat.

”Kalau kita baca sirah di mana tentera kafir Quraisy menggunakan khidmat penyanyi-penyanyi wanita bagi membangkitkan semangat perajurit ketika berperang dengan tentera Islam di Badar.

”Maka tidak hairanlah apa yag berlaku pada zaman Abu Jahal turut berulang sekarang apabila artis wanita digunakan bagi mengganggu ceramah-ceramah PAS,” katanya.

Hadir sama pada program berkenaan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Fauzi Mat dan wakil Palestin, Dr Asyraf Abu Mahadi.

621 guru Pasti terima tunggakan
Rizal Tahir

PENGKALAN CHEPA, 21 Ogos: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini lebih bermakna bagi 621 guru Pasti apabila menerima tunggakan elaun dan duit raya baru-baru ini.

Setiap mereka menerima antara RM550 sehingga RM640 melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM331,440.

Pengarah Pasti Negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya sentiasa berusaha memastikan elaun guru-guru Pasti di negeri ini dibayar setiap bulan.

“Pasti negeri mahu elaun guru-guru Pasti dibayar setiap bulan tanpa ada tunggakan bagi memastikan kebajikan mereka lebih terbela,” katanya di majlis penyampaian elaun tersebut di Putik.

Oleh itu beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan mengingatkan guru-guru Pasti hendaklah mengekalkan penampilan kerana mereka menjadi ikutan pelajar-pelajar Pasti.

Katanya juga pendidik merupakan golongan yang dimuliakan dalam Islam kerana memberi ilmu dan mendidik manusia menjadi hamba Allah yang taat.

Sementara itu dalam perkembangan lain qari kanak-kanak dari Iran, Reza Goldshahi, 13 tiba di Kelantan Khamis lalu bagi memeriahkan program tadarus al-Quran sempena Ramadan ini.

Sejurus tiba di sini beliau dibawa menemui Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan turut memperdengar bacaan al-Quran di pejabatnya di Kota Darulnaim.

Reza ditemani seorang warga Iran, Ali Memariani akan berada hampir seminggu di Kelantan. Kehadirannya ditaja Tabung Amanah Tok Kenali, agensi kerajaan dan beberapa badan bukan kerajaan.

Beliau akan memperdengarkan bacaan al-Quran pada 24 Ogos ini di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan jam 4 petang bersama qari cilik tempatan.


Mengapa Mais, Jais tinggalkan beban kepada Sultan?
Mohd Rashidi Hassan rashidi@harakah.net.my

Timbul persoalan di kalangan rakyat, adakah Sultan Selangor sudah disembah maklum, bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan membuat serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), 3 Ogos lepas, kerana terdapat unsur-unsur memurtadkan orang Islam?

Apakah pihak istana sudah dimaklumkan secara terperinci dan mengetahui sejelas-jelasnya apa motif serbuan dibuat ke atas DUMC dan apakah Sultan sudah dinasihatkan mengenai kesan ataupun implikasi yang akan tercetus daripada tindakan Jais ini?

Jika pemakluman sudah diketahui istana, jika nasihat sudah diberikan kepada Sultan, maka bolehlah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dato' Mohd Adzib Isa, melepaskan beban ini kepada istana.

Adzib dilaporkan dengan tegas, mengatakan mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan Jais ke atas DUMC, secara tidak langsung tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri.

Beliau berkata, ini kerana Jais tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor, sebaliknya agensi penguatkuasaan itu, terletak di bawah kuasa Sultan Selangor.

"Sultan Selangor adalah ketua agama negeri Selangor dan dari segi strukturnya Mais terletak di bawah Sultan Selangor dan Jais terletak di bawah Mais.

"Jais adalah badan bebas, tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor dan Jais adalah pelaksana atau badan pentadbiran," katanya.

Kenyataan Adzib ini, dibalas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman yang menegaskan, tiada pihak yang mempertikaikan tindakan Jais, sebaliknya hanya mahu penjelasan sebenar daripada agensi penguatkuasaan agama itu.

Beliau yang juga Adun Meru berkata, tidak timbul soal mempertikaikan tindakan Jais atau tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama negeri tapi semua pihak hanya mahu mendapatkan penjelasan.

Tegas Dr Abdul Rani, dakwaan mengatakan ada pihak termasuk parti politik mempertikaikan tindakan Jais apatah lagi mempersoalkan kuasa Sultan Selangor tidak tepat.

"Dalam Islam yang kita tidak boleh pertikaikan adalah al-Quran dan sunah, itu tidak boleh pertikai, satu ayat pun kita tidak boleh pertikai, kalau kita pertikai akidah kita boleh terjejas.

"Jadi dalam isu Jais ini, kita tidak pertikaikan pun cuma kita nak dengar penjelasan. Apa salahnya? Islam adalah agama hujah, hujah atas fakta dan dalam isu ini kita bukan pertikai tapi mahukan penjelasan," katanya.

Justeru Abdul Rani menasihatkan Adzib dengan mengatakan, "Kalau boleh selesaikan di (peringkat) bawah, tidak perlu dibawa ke Sultan Selangor."

Ada beberapa perkara yang harus diteliti daripada kenyataan Adzib dan tindakan Jais. Pertamanya Adzib memperakui, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tidak ada kena mengena dengan serbuan Jais ke atas DUMC.

Oleh itu usaha-usaha jahat media talibarut Umno dan NGO upahan untuk menyalahkan PAS mahupun kerajaan negeri tidak seharus berlaku. Jais bertindak sendirian.

Implikasi kedua ialah, terdedahkan sikap segelintir penguasa di Mais dan Jais yang tidak menghormati dan tidak mengiktiraf peranan kerajaan yang dipilih secara sah dalam Pilihan Raya Umum 2008. Sikap sebegini tidak harus diterima dan mereka yang terbabit dalam tindakan membelakangi kerajaan negeri harus dihukum.

Ketiga, apa yang dikatakan Adzib, jelas bercanggah dengan Perlembagaan Negeri Selangor dan demokrasi. Kita diperintah menggunakan sistem Raja Berpelembagaan. Iaitu, kuasa bernaung di bawah Raja, manakala kuasa eksekutif di bawah kerajaan negeri. Kita tidak diperintah secara absolute monarchy.

Maka, oleh kerana kebanyakan pegawai-pegawai kerajaan yang berkhidmat di Selangor, adalah di bawah kerajaan pusat, maka secara tidak langsung, mereka boleh digerakkan untuk mensabotaj kerajaan negeri. Dan oleh kerana Umno-BN yang menguasai pegawai, maka apakah tidak mungkin Umno tidak mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat. Kalau Umno yang jahat, jangan sesekali 'dibinkan' kepada Sultan.

Implikasi keempat, jika benar Sultan sudah disembah maklum, sama ada menerusi Jais atau Mais, maka apakah tidak mungkin Sultan diberikan nasihat secara salah atau secara sebelah pihak sahaja?

Jika ini berlaku, pada hemat saya, ianya bercanggah dengan titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah di Shah Alam baru-baru ini, yang mahu pihak istana mendapat nasihat yang seadil-adilnya sebelum membuat sesuatu keputusan. Ini kata baginda adalah untuk memelihara kesucian institusi Raja.

Masalah yang timbul di sini ialah, jika Adzib atau dahulu bekas Pengarah Jais, Dato' Muhammad Khusrin Munawi yang menjadi penasihat Sultan, kesejahteraan negeri dan rakyat akan sentiasa tergugat.

Ini kerana, sudah banyak bukti dan rungutan rakyat, bahawa kedua-duanya menunjukkan kecenderungan yang jelas, iaitu memihak kepada Umno-BN dalam banyak event di Selangor. Banyak kenyataan dan tindakan kedua-duanya sebelum ini, bertentangan dengan kerajaan negeri. Jangan sesekali mereka sangka bahawa rakyat boleh menerima keadaan ini.

Persoalan kelima yang hendak dibangkitkan ialah, apakah dengan serbuan Jais ini, gejala murtad dapat dibendung? Atau sejauhmanakah keberkesanan pihak berkuasa agama di Selangor membendung gejala riddah dan kemaksiatan? Harus diingat bahawa mantan Mutfi Selangor, Almarhum Dato' Ishak Baharom menjadi mangsa pihak yang rakus, kerana mempertahankan kesucian Islam dalam isu The Ship. Dosa-dosa mereka terhadap Almarhum akan dibalas Allah.

Peranan Jais dalam hal agama terlalu banyak dipertikaikan. Jais bukannya menjaga akidah umat Islam, sebaliknya mereka memelihara 'akidah' Umno. Jais merobohkan surau kerana mendakwa surau dikuasai PAS, Jais menyerbu kuliah-kuliah agama pemimpin PAS, atas alasan mereka tidak diberi tauliah di Selangor.

Sebelum ini Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Muryidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din, merupakan antara individu, yang sering menerima ancaman akan ditangkap atau dikenakan tindakan. Surat amaran Jais yang ditandatangani Khusrin melarang Ustaz Hadi kuliah di surau, masih ada dalam simpanan saya sebagai bukti.

Timbul pertanyaan, mengapa hari ini Ustaz Nik Aziz, Ustaz Hadi dan lain-lain ada kalanya tidak dihalang daripada menyampaikan kuliah? Sebabnya, ada sebahagian tempat yang mereka pergi, jemaahnya, penduduknya bersifat rasional, Umno totok dah pupus.

Jais hanya akan bertindak apabila pencacai Umno di kariah tertentu menghubungi pemimpin Umno dan arahan itu dikeluarkan melalui pihak tertentu kepada pegawai Jais. Maka kelamkabutlah pengawai Jais menghubungi Nazir Masjid dan Pengerusi surau untuk menghalang kuliah diadakan.

Alasannya utama larangan Jais, pertamanya, kerana penceramah tidak mempunyai tauliah. Kedua, masjid dan surau bukan tempat berpolitik. Jika berpolitik, ia melanggar arahan Sultan kata mereka.

Dalam isu tauliah, sehingga kini tiada pemimpin PAS yang didakwa di mahkamah kerana berpolitik di masjid dan surau. Pengawai-pegawai Jais harus sedar, ulama-ulama seperti Ustaz Nik Aziz dan Ustaz Hadi, sebelum kebanyakan pegawai tersebut dilahirkan lagi, sudah mengajar agama di merata ceruk negara. Sila buktikan, pada masa mana, ajaran yang mereka sampaikan kepada umum, bercanggah dengan Islam?

Ulama-ulama ini tidak perlu diinterbiu untuk diberikan tauliah, malah merekalah yang layak menginterbiu penguasa-penguasa Jais sama ada kelulusan dan kefahaman mereka, cukup untuk menjadi penguatkuasa agama.

Dalam soal berpolitik di masjid. Persoalannya, adakah Umno-BN tidak pernah menggunakan masjid untuk pentas politik? Siap buat bacaan yassin dan solat hajat lagi untuk memenangkan calon BN yang beragama Hindu di Hulu Selangor. Mana penguasa Jais? Mengapa diamkan hal ini? Apakah masjid untuk pentas politik Umno-BN dibolehkan dan tidak melanggar arahan Sultan?

Ok, jika hal ini dikaitkan dengan titah Sultan, ulama manakah yang memberikan nasihat yang salah kepada Sultan, bahawa Islam melarang berpolitik di masjid? Sila tunjukkan pada ayat mana, prinsip mana yang jelas melarang berpolitik di masjid?

Pada saya, jika dalam menjaga soal agama Islam pun Jais berpihak dan mentadbir secara tunggang-langgang, bagaimana hendak diharap Jais menjaga akidah orang Islam?

Persepsi rakyat terhadap Jais ini disimpulkan secara mudah oleh seorang peniaga daging di Machang kepada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa. Tatkala peniaga daging itu terlihat laporan Utusan Malaysia mengenai serbuan Jais ke atas DUMC, beliau secara spontan berkata, "Buat apa hendak percaya Utusan? Jais pun tak boleh percaya kerana dia Umno."


Perkuat jentera PAS dekati masyarakat
Harakahdaily

ALOR GAJAH, 21 Ogos: PAS perlu memperkuatkan jenteranya melalui pendekatan turun padang untuk bertemu masyarakat di samping aktiviti mesra rakyat.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari memberitahu, pihaknya meneruskan program turun padang ke kawasan-kawasan pada bulan Ramadhan ini.

Katanya, selepas PAS negeri membentuk jentera yang merupakan asas kekuatan parti, aktiviti mendekati masyarakat diteruskan termasuk mendaftar pemilih dan menjawab tohmohan pihak lawan.

Baginya, masyarakat di negeri ini boleh bersama dengan PAS melalui pendedahan pemimpin parti di semua peringkat.

Justeru, ujarnya, PAS negeri berusaha untuk bertemu dengan pemimpin masyarakat bagi menyampaikan mesej perjuangan parti.

“Ini merupakan tanggungjawab kita untuk dekat dengan masyarakat dan mereka boleh menerima kita, mereka mahu kita mesra dengan mereka,” ujarnya ujarnya ketika ditemui selepas menunaikan solat tarawih di Sekolah Rendah Islam al-Munawwarah, Durian Tunggal, malam tadi.

Sebelum itu, majlis berbuka puasa diadakan di pekarangan sekolah itu yang disertai Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Hadir sama malam tadi ialah Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Kamarudin Sidek, Ustaz Mohd Noor Omar, Sofi Wahab, Setiausaha Perhubungan, Asri Shaik Abd Aziz, Ketua Pemuda, Yuhaizad Abdullah dan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Imran Abd Rahman.

Justeru, beliau menambah, pemimpin PAS setempat perlu lebih peka terhadap permasalah yang dihadapi penduduk dan seterusnya bertindak menyelesaikannya mengikut kemampuan masing-masing.

“Apabila kita berjaya selesai masalah masyarakat, maka mereka rasa PAS dekat dengan mereka dan ini dapat memecahkan tembok yang mengatakan PAS tak boleh mendekati masyarakat,” katanya lagi.

Mengenai pengukuhan jentera pilihan raya parti, beliau berkata, sehingga malam tadi, jentera PAS negeri telah turun ke kawasan Masjid Tanah, Kota Melaka, Tangga Batu, Jasin dan Alor Gajah.

“Lawatan ini adalah untuk melaksanakan misi pilihan raya bagi memberi kesedaran dan motivasi kepada petugas,” ujarnya.


Prasarana terbaik dalam negara berkebajikan
Harakahdaily

RAWANG, 21 Ogos: "Negara berkebajikan PAS bukan bermakna semua perkara akan disubsidikan tetapi menyediakan prasarana yang terbaik untuk rakyat hidup dengan baik," kata Dr Dzulkefly Ahmad, anggota Parlimen Kuala Selangor.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis berbuka puasa dan meraikan anak yatim anjuran PAS cawangan Bandar Tasik Puteri semalam.

(Antara anak yatim yang diraikan bersama peserta majlis berbuka puasa PAS cawangan Bandar Tasik Puteri)

20 anak yatim dari Persatuan Kebajikan Ay Syakur diraikan di majlis berbuka puasa itu. Lebih 150 peserta menyertai majlis berbuka itu.

Di majlis itu, Dr Dzulkefly telah menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim itu dengan ditemani Bendahari PAS Selayang, Haji Ismail Hassan.

"Antara yang kita fokaskan adalah anak yatim sebagaimana yang dibuat oleh PAS cawangan ini," kata Dr Dzulkefly.

Dalam majlis itu, Dr Dzulkefly yang merupakan pakar toksid menyarankan kepada semua umat Islam jangan jadikan waktu berbuka untuk qadak semua makanan yang telah seharian tidak dimakan.

(Dr Dzul menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim)

"Itu satu salah faham dalm berbuka dan berpuasa," katanya.

Beliau kesal dengan sikap ramai umat Islam yang berbuka dengan meah dan memakan dengan pelbagai jenis makanan sehingga memudharatkan kesihatan.

Tiada ulasan: