Rabu, 10 Ogos 2011

DISIPLIN NI...TAK KIRA PARTI PEMERINTAH ATAU PARTI PEMBANGKANG...JIKA TAK BERDISIPLIN APA DIITERAJUI AKAN PUNAH

JK Disiplin DAP pecat tiga ahli
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Jawatankuasa Disiplin DAP memecat tiga ahli parti itu berkuatkuasa serta merta kerana melanggar disiplin parti.

Pengerusinya, Tan Kok Wai berkata, ketiga-tiga mereka adalah Puah Ju Kian (Cawangan Telok Gadong), Yap Kon Min (Serdang Bahru) dan Tan Chew Wah (Kampung Baru Balakong).

Puah Ju Kian didakwa salah menguruskan hal ehwal cawangannya, Yap Kon Min pula didapati salah membuat kenyataan yang salah secara berulang kali terhadap pimpinan DAP manakala Tan Chew Wah pula didapati bersalah dan secara berulang kali membuat kenyataan buruk secara terbuka terhadap pimpinan DAP.

Menurut Tan Kok Wai yang juga anggota Parlimen Cheras, Jawatankuasa Disiplin DAP telah mengadakan perbicaraan terhadap ketiga-tiga mereka pada 5 Ogos lepas di Ibu Pejabat DAP dan penjelasan mereka tidak memuaskan hati jawatankuasa kerana ia telah memburukkan kepentingan parti itu.

"Ekoran pemecatan ini, ketiga-tiga mereka tidak lagi berhak mewakili DAP dalam sebarang urusan atau bertindak sebagai ahli DAP.

"Bagaimanapun mereka boleh membuat rayuan dalam masa 14 hari terhadap keputusan ini kepada Jawatankuasa Pusat Parti berdasarkan perkara VII para 3 Perlembagaan DAP," katanya dalam satu kenyataan.


Kes baju Bersih 2.0 dibicara di mahkamah
M Faqih

BACHOK, 10 Ogos: Mahkamah Majistret Bachok hari ini menetapkan 12 Oktober hadapan bagi sebutan kes seorang peniaga yang ditahan atas dakwaan memiliki t-shirt bertulis perkataan Bersih 2.0.

Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin, 33 hadir bersama peguam Mohd Firdaus Yusof dan Muhamad Abdul Rashid Yah, beliau didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966.

Jika disabitkan kesalahan di bawah seksyen tersebut boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.

Pada prosiding hari ini tertuduh menerima dokumen-dokumen berkaitan pertuduhan ke atasnya daripada Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin.

Majistret, Azrol Abdullah menetapkan 12 Oktober akan datang bagi prosiding kes tersebut.

Mohd Amizul yang juga anggota jawatankuasa Pemuda PAS Bachok didakwa mempamer baju T bertulis Bersih 2.0 di sebuah kedai runcit di Kampung Permatang Pauh, Mahligai, Bachok.

Ekoran itu beliau ditahan reman selama dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok dan kemudiannya didakwa di mahkamah pada 5 Julai lalu.

Bagaimanapun beliau tidak mengaku bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM4,000.

Pendakwaan terhadap Mohd Amizul difahamkan merupakan kes pertama membabitkan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Selain itu seorang lagi peniaga dari Wakaf Bharu, Tumpat juga didakwa di atas pertuduhan serupa kerana memiliki baju T Bersih 2.0.

Pada akhir Jun lalu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussien menyifatkan orang yang memakai baju berkaitan Perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu sebagai haram.

Sehingga akhir Jun lalu 85 individu ditahan atas dakwaan menjalankan aktiviti mempromosi perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.


Larangan Exco ulas isu periksa gereja kekal - MB
Nazri Abdulllah

SHAH ALAM, 10 Ogos: Larangan terhadap semua anggota Exco negeri itu supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung pemeriksaan gereja oleh Jais baru-baru ini kekal sehingga kerajaan negeri mendapatkan laporan lengkap dari Jais.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri belum lagi mendapat laporan lengkap itu daripada Jais berhubung pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya, 3 Ogos lalu itu.

Menurutnya, pihak Jais memerlukan sedikit masa menyiapkan laporan itu kerana turut menghadapi masalah mengambil keterangan dari 12 orang Islam yang terlibat dalam pemeriksaan itu.

Ia kerana beberapa undang-undang yang telah diketengahkan oleh peguam-peguam yang mewakili 12 mereka yang terlibat tersebut.

"Laporan terperinci yang diminta termasuklah hasil siasatan dan soal jawab 12 orang Islam yang dikatakan terlibat serta salinan barang kes yang telah diperolehi hasil dari pemerikasaan. Laporan tersebut masih belum siap lagi.

"Sementara itu, arahan kepada semua EXCO supaya tidak membincangkan isu ini secara terbuka masih terpakai sehingga arahan baharu dikeluarkan," katanya pada sidang media di bangunan SUK di sini.

Turut serta pada sidang media selepas mesyuarat Exco itu, Exco Pembangunan Pertanian, Pengurusan Alam dan Usahawan Yaakob Sapari dan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri Ronnie Liu.

Tindakan itu menurut Khalid bagi membolehkan pihak Jais menyiapkan laporan tanpa sebarang gangguan dan spekulasi.

Arahan tersebut bagaimanapun menurut Khalid hanya tertakluk kepada Exco, pegawai kerajaan dan jabatan kerajaan negeri dan tidak melibatkan individu, NGO ataupun parti politik.

Selain itu juga, pejabatnya juga jelas Khalid, turut menerima surat oleh daripada firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakili 10 dari 12 orang Islam yang terlibat.

Kerajaan negeri bagaimanapun menyerahkan kepada pakar undang-undang Jais untuk memberi nasihat yang sepatutnya dalam hal ini.

Ekoran itu juga menurutnya, beliau belum dapat mengadap Sultan Selangor bagi memberikan pandangan dan menerima pandangan balas dari baginda.

Sementara itu, PAS semalam telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan gereja Methodist Damansara Utama bagi menetapkan tarikh pertemuan antara mereka.

Mereka mencadangkan tarikh pertemuan dengan Jais diadakan pada 15 Ogos ini manakala kunjungan ke gereja Methodist pula akan dibuat 16 Ogos ini.

Pertemuan dengan Jais dan gereja diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat Ahad lepas.

Ia bertujuan untuk mendapat gambaran dari mereka sendiri sebelum membuat apa-apa pendirian ekoran tindakan Jais memeriksa gereja berkenaan baru-baru ini.

Tindakan itu telah mendapat reaksi pelbagai dari pelbagai pihak di negara ini termasuk menyokong di samping ada yang membantahnya secara keras.

Ekoran itu, PAS memutuskan untuk mendapatkan bukti dan gambaran yang jelas sebelum mengambil apa-apa sikap berhubung kontoversi itu.


Buku garis konsep umum Negara Berkebajikan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Buku Konsep Asas Negara Kebajikan karangan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sekadar menggariskan maksud, konsep umum dan tuntutan sebuah Negara Berkebajikan.

“Buka kecil ini juga bukan sebuah tesis kajian ilmiah di mana susun atur isi dan penulisan dalam buku ini adalah disampaikan dengan bahasa yang ringkas dan mudah difahami oleh rakyat kebanyakan,” tulis Tuan Guru Abdul Hadi pada bahagian Muqadimmah.

Menurutnya, buku itu juga tidak bermaksud untuk memperincikan seluruh program kebajikan yang dimaksudkan oleh PAS.

Katanya, perincian dan susun atur program yang menjadi pengisiannnya nanti akan dipaparkan kepada seluruh rakyat dalam bentuk manifesto dan butiran khusus dari masa ke semasa menerusi media cetak dan lain-lain siaraya oleh PAS.

Beliau yang juga ahli parlimen Marang berkata, Dokumen Negara Berkebajikan yang akan menyusul selepas buku kecil ini akan menjelaskan dengan lebih terperinci akan konsep dan tasawwur Negara Berkebajikan.

"Mudah-mudahan kita semua mendapat pahala menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan menyelamatkan manusia dengan petunjuk Allah yang sebenarnya secara beramal," ujarnya lagi.

Buku yang mengandungi tujuh bahagian dan 86 muka surat bercetak itu dilancarkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Qaryah Ramadhan, Kota Bharu pada 5 Ogos lepas.


Krisis Ekonomi: PRU 13 tidak akan berlaku tahun ini?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka terpaksa menangguhkan pilihan raya umum dari diadakan tahun ini ekoran kemelut ekonomi yang sedang meruncing di seluruh dunia sekarang.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) menjangka, Najib terpaksa menangguh pilihan raya umum ke 13 ekoran krisis ini yang juga mula melanda Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, PAS masih akan terus mempersiapkan semua jenteranya untuk menghadapi pilihan raya ke 13 jika ia terus akan diadakan November ini iaitu sebaik sahaja selepas perbentangan Bajet 2012.

Menurut beliau, Bursa Malaysia sedang mengalami susut RM91 bilion dalam tempoh lapan hari lalu berdasarkan rekod yang beliau perolehi jam 10 pagi ini.

Kedudukan panik kini sedang melanda seluruh dunia khasnya Eropah dan Amerika.

"Saya yakin, krisis yang sedang melanda London sekarang tentunya ada hubungkait dengan tekanan hidup akibat ramai yang hilang pekerjaan dengan kos saraan hidup terus meningkat," kata Dr Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat kepada Harakahdaily.

Kota London, England berdepan dengan krisis dan huruhara dengan rusuhan merebak ke seluruh kota lain sekarang yang bermula dengan protes kecil Sabtu lalu apabila seorang remaja kulit hitam ditembak mati.

Sementara itu Indeks FTSE London sudah jatuh RM245 bilion sejak seminggu lalu manakala Indeks Dow Jones di Amerika Syarikat jatuh 4.1 peratus dalam masa 10 hari, kejatuhan terbesar sejak tahun 2008.

Ekoran itu, mata wang Euro di Eropah jatuh dengan mendadak dan hampir lumpuh.

Pasaran saham Asia juga merudum sejak beberapa hari ini termasuk di Tokyo, Taipei, Shanghai dan juga Sydney.

"Apabila kemelesetan berlaku kepada gergasi ekonomi dunia iaitu Amerika, ia akan membawa kemelesetan ke seluruh dunia," kata Dr Dzulkefly yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.

Menurut beliau, suasana ini akan mencetus satu krisis kewangan dan kemelut ekonomi yang telah masuk ke kemelesetan kedua sejak 2008 (double-dip recession).

Ini bakal ditambah-buruk lagi apabila harga komoditi makanan beras, gandum, gula terus meningkat akibat permintaan yang tinggi dan bekalan yang merosot akibat ketidaktentuan cuaca.

Suasana ini meletakkan Perdana Menteri terhimpit dengan suasana serba salah untuk mengadakan pilihan raya umum tahun ini.


"Cakap-cakap yang PM akan adakan pilihan raya mengejut tahun ini saya rasa tidak munasabah lagi kerana para penganalisis politik dan ekonomi hanya menjangkakan krisis ini akan pulih tahun depan.

(Sebuah pasaraya di Tottenham kosong dicuri para perusuh ekoran keadaan gawat di London sekarang)

"Saperti telahan ramai pihak penganalisis dan pundit politik, saya sukar meramalkan Najib akan berani membuat pilihanraya mengejut dalam bulan September. Permintaan global akan menguncup dan pertumbuhan ekonomi negara juga terjejas kerana penguncupan permintaan global. Saya yakin PM tak akan buat pru tahun ini," kata Dr Dzulkefly.

Menurut beliau, dengan unjuran ekonomi yang akan merudum ini, Perdana Menteri tidak wajar mampu bermewah seperti lazim dalam budget 2012 yang bakal dibentang pada 7 hb Oktober. Ini adalah Budget pra-PRU 13 .

Projek besar yang disebutkan beliau dalam ETP seperti MRT dan Bandar Malaysia juga hanya akan dapat dilihat atau bermula tahun depan dengan kewangan dunia yang tidak menentu ini.

"PM hanya akan mampu memanggil pru jika projek-projek ini boleh berjalan tetapi kini dengan krisis ini ia akan tergendala," tegas beliau.

Menurut beliau, dua tahun lalu PM mendapat kelebihan kerana harga minyak mentah tinggi yang menyebabkan beliau boleh berbelanja besar tetapi dengan keruntuhan ekonomi global ini, harga petrol akan merudun, eksport merudun, "Ia bakal menjadi mimpi ngeri yang bakal menjadi kenyataan untuk Najib."

Bursa Malaysia mula mengalami pengucupan sejak Jumaat lalu (5 Ogos) ketika penerapan hutang Amerika Syarikat mengalami kejatuhan teruk yang memberikan kesan kepada bursa saham seluruh dunia.

Untuk menjadikan bajet 7 Oktober nanti sebagai bajet pilihanraya, Najib akan dikekang dari berbelanja besar untuk tidak mencetuskan defisit fiskal yang melebihi 7 peratus KDNK seperti 2009, katanya.

Pada waktu sama juga, katanya, Najib akan berdepan dengan tekanan inflasi yang sudah hampir ke paras 4 peratus sekarang ini dengan CPI (Indek harga pengguna) bulan Jun mencecah paras 3.5 peratus. Program rasionalisasi subsidi dalam perkara asas keperluan bahan bakar - minyak, diesel dan gas, sangat tidak membantu Najib dalam memenangi sokongan rakyat teramai, sementara monopoli dan pengepungan pasaran terus berlaku akibat permit diberikan kepada kroni tertentu.


Najib gagal uruskan ekonomi
Rafizi Ramli

Angka-angka ekonomi terkini yang baru diumumkan membayangkan ekonomi negara akan terus malap; selain dari kerugian ratusan bilion ringgit yang dialami pelabur di Bursa Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu.

Keputusan agensi pelaburan dan penganalisa pasaran memotong unjuran pertumbuhan ekonomi negara di bawah paras 5% bagi tahun 2011 menjadi tanda-tanda bahawa dasar dan inisiatif ekonomi yang menjadi tonggak pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak (seperti Program Transformasi Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Model Ekonomi Baru) telah gagal sejak dari awal-awal lagi.

Jika prestasi ekonomi terus malap seperti yang diunjurkan, Program Transformasi Ekonomi akan gagal sebelum memasuki tahun kedua kerana ia mensasarkan pertumbuhan ekonomi 6% setahun untuk mencapai sasaran Pendapatan Kasar Kebangsaan (GNI) per kapita sebanyak RM48,000 menjelang 2020 yang diwar-warkan. Pertumbuhan ekonomi tahunan di bawah angka 5% setahun bermakna Program Transformasi Ekonomi telah gagal menarik minat pelabur walhal kerajaan menumpukan sepenuh tenaga, fokus dan jentera kerajaan untuk mempromosikannya. Jika ia gagal menarik perhatian dalam tahun pertama dan di kemuncak promosinya, bayangkan keadaannya 2-3 tahun akan datang.

Prospek yang malap ini akan diburukkan lagi dengan keadaan tidak menentu yang dialami Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Pakar ekonomi dunia sependapat bahawa krisis hutang di Eropah akan mengheret 3 ekonomi terbesarnya iaitu Itali, Perancis dan Jerman ke kancah kekalutan ekonomi seperti yang dialami oleh negara-negara Eropah lain. Jika ini berlaku, prestasi ekonomi Malaysia akan turut terkesan dan memburukkan lagi angka pertumbuhan ekonomi tahun-tahun akan datang.

Datuk Seri Najib Tun Razak juga perlu menerima hakikat bahawa pentadbiran beliau telah gagal mencapai sasaran pelaburan swasta yang ditetapkannya sendiri dan diumumkan sebagai strategi utama beliau menghidupkan kembali pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sebelum ini, PEMANDU dengan gah mengumumkan bahawa 92% daripada dana untuk melaksanakan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi bernilai ratusan bilion ringgit akan dibiayai swasta.

Namun, sumber dana untuk membiayai projek-projek utama yang diumumkan masih diselubungi rahsia. Setakat ini, 77% daripada 10 projek terbesar yang diumumkan di bawah Program Transformasi Ekonomi akan dilaksanakan dan dibiayai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Analisis 10 projek terbesar seperti berikut akan membuktikan bahawa pentadbiran sekarang masih menggunakan kaedah pergantungan kepada wang rakyat untuk mewujudkan peluang ekonomi, tetapi kini ia disalurkan melalui GLC:

PROJEK TERBESAR ETP

PELABURAN DIUMUMKAN

(RM BILLION)

GLC/BUKAN GLC

Pembangunan kompleks loji penapisan dan petrokimia (RAPID) di Johor

60.0

GLC (PETRONAS)

MRT (kos pelaburan tidak termasuk kos tanah dan koc/kenderaan)

36.6

GLC

(sebuah syarikat khas ditubuhkan)

Pembangunan minyak dan gas di lapangan Tapis dan lapangan Teluk (dijadualkan bermula 2013)

10.0

GLC

(PETRONAS & ExxonMobil, pelaburan semula kekayaan minyak negara)

Pembangunan Karambunai Integrated Resort City

9.6

Bukan GLC

Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) untuk membangunkan kedai-kedai runcit

5.43

Tidak diketahui

Program pelaburan baru Shell Malaysia (menaiktaraf dan membina loji baru termasuk membabitkan kompleks Shell Middle Distillates, kompleks Port Dickson dan pembangunan lapangan Gumusut)

5.1

GLC

(PETRONAS & Shell, pelaburan semula kekayaan minyak negara)

Pembangunan terminal petroleum laut dalam di Johor

5.1

Dialog Group

(syarikat swasta dengan pegangan saham yang besar oleh badan berkaitan kerajaan)

3 loji penjanaan elektrik yang baru, 2 loji penjanaan hidro-elektrik, 1 loji penjanaan elektrik arang batu dan pelaburan dalam infrastruktur transmisi

4.0

GLC

(TNB)

Pembangunan kompleks petroleum dan lojistik di Tanjong Agas, Pekan, Pahang

3.0

GLC

(di bawah Koridor Ekonomi Pantai Timur)

Pembangunan MINES Wellness City

3.0

Bukan GLC

Setakat ini, 10 projek terbesar di bawah Program Transformasi Ekonomi menelan pelaburan RM142 bilion, iaitu 82% daripada keseluruhan pelaburan projek-projek yang telah diumumkan berjumlah RM173 bilion. Hakikatnya, 77% daripada 10 projek terbesar di bawah pelan ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak sebenarnya menggunakan dana awam melalui GLC dan membuktikan bahawa sasaran 92% pembiayaan swasta itu tidak lebih dari angka-angka untuk kempen politik yang sudah tentu tidak akan dicapai.

Prestasi 3 penanda aras ekonomi yang paling utama (iaitu kekalutan di Bursa Kuala Lumpur, unjuran pertumbuhan yang semakin rendah saban hari dan kegagalan menarik pembiayaan swasta bagi projek-projek utama di bawah Program Transformasi Ekonomi) sudah cukup untuk membayangkan kegagalan dasar dan inisiatif ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Malangnya, prospek ekonomi murung yang menyelubungi Malaysia adalah berlainan sama sekali dengan prestasi ekonomi Indonesia. Pertumbuhan ekonomi Indonesia terus meningkat pada kadar 6.5% suku yang lepas dan dijangka mencecah 7% tahun depan. Pada masa rakyat Malaysia bergelumang dengan kadar inflasi tertinggi dalam tempoh 2 tahun, Indonesia pula mencatatkan kadar inflasi terendah dalam tempoh 14 bulan yang lalu. Sementara kadar kenaikan gaji hanya menokok pada angka 2.6% sahaja bagi pekerja Malaysia sepanjang sedekad yang lalu, pekerja di Indonesia menikmati kadar kenaikan gaji tahunan 10% sejak tahun 2006.

Sudah tentu ada perbezaan yang nyata dari segi pendekatan ekonomi sehingga mengakibatkan prestasi yang berlainan seperti ini. Pemerintah Indonesia mengalu-alukan reformasi dan keterbukaan sejak tahun 1998 lagi, berbeza dengan Barisan Nasional yang mencari seribu satu alasan untuk memadamkan api reformasi yang dituntut rakyat sehingga mengorbankan prestasi ekonomi negara.

Baiknya keadaan ini tidak akan berterusan kerana lebih ramai rakyat boleh menilai sendiri bahawa reformasi ekonomi hanya boleh berlaku seiringan dengan reformasi politik, selaras dengan pendekatan ekonomi yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI

10 OGOS 2011


Warganegara: BN sedang menjual negara
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 10 Ogos: Tindakan kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan pihak mereka telah mendaftar hampir 100,000 warga asing sebagai warga negara segaligus sebagai pengundi merupakan tindakan bahaya kerana menjual negara sendiri.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar), berkata kerana ingin kekal memerintah negara, kerajaan sanggup berbuat demikian melalui JPN.

Menurutnya, warga asing yang datang ke negara ini berbagai jenis serta latarbelakang hidup yang berbeza.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung SPR dan JPN yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berikutan pelbagai pendedahan dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat di seluruh negara berhubung pendaftaran warga asing sebagai pengundi, pertindihan kad pengenalan dan berbagai lagi.

“Kalau di Singapura, kerajaan negara itu menapis terlebih dahulu mengikut kehebatan mereka khususnya dari golongan professional contohnya sebagai ahli sukan.

“Namun ianya berbeza di negara kita ni semuanya pakai ambil tangkap muat saja tanpa mengenali status individu warga asing terbabit asalkan boleh jadi pengundi pada mereka,”ujarnya .

Tegasnya, kenapa tiba-tiba sahaja mereka telah difaftarkan sebagai warga negara dan terus sebagai pengundi sekiranya tidak ada pihak tertentu mengaturkan usaha itu.

Menurut Husam, mereka hanya berminat untuk menjadi warga Negara dan bukannya sebagai pengundi, tetapi tiba-tiba pula mereka didaftarkan sebagai pemilih.

Menurutnya lagi, hasil maklumat yang diperolehi pihak tertentu menemui warga asing dari negara Bangladesh, China dan sebagainya dengan membawa borang untuk diisi sebagai warganegara tanpa menyelidiki latarbelakang golongan itu sama ada penjenayah atau sebaliknya.

Beliau menambah, konspirasi itu begitu membahayakan negara ini kerana ianya boleh mengancam keselamatan dan kestabilan negara pada masa akan datang.

Sehubungan itu parti-parti politik khususnya dari Pakatan Rakyat perlu merangka gerakerja yang lebih terkehadapan bagi menangi perkara ini.

“Ianya tidak begitu sukar memandangkan JPN sendiri telah mengakuinya sebelum ini berhubung pendaftaran terbabit,”ujarnya.

Beliau juga turut melahirkan dukacita di atas kegagalan JPN membuat kenyataan berhubung jumlah warga asing mengikut negara di samping tempoh permohonan sebagai pemilih sebelum ianya disahkan.

Katanya rakyat Malaysia perlu membuat bantahan berhubung perkara itu kerana ianya merupakan tindakan bahaya.


Dinar: Masa lancar RM323, hari ini RM809
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 10 Ogos: Langkah Kerajaan Kelantan memperkenalkan Dinar dan Dirham sebagai aset untuk rakyat di negeri ini menabung merupakan jalan yang tepat apabila satu dinar yang dilancar empat tahun lalu bernilai RM323 hari ini meningkat RM809.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata peningkatan itu merupakan sejarah dalam kenaikan harga emas dunia.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di sini sebentar tadi.

Menurutnya, harga emas pasaran dunia pula hari ini meningkat kepada USD1,723 dan ianya merupakan satu sejarah dalam kenaikan harga emas.

“Mana-mana masyarakat yang sebelum ini membeli emas mendapat keuntungan yang besar dan rugi sekiranya tidak berbuat demikian bagi mereka yang mampu.

”Bagaimanapun sekarang kita masih boleh membelinya kerana ia belum terlewat memandangkan harga emas pasaran dunia akan naik lagi mencecah USD3,000,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan kerajaan negeri menyedari perkara ini PMBK Sawit sejak awal lagi melabur sumber kewangannya di sebuah bank di negeri ini sebanyak RM1 juta.

Tambahnya, keuntungan yang diperolehi dalam tempoh lebih sebulan RM130,000.

Ketika ditanya berhubung pihak tertentu mengkritik tindakan kerajaan negeri sebelum ini, beliau berkata kritikan itu hanya kerana sentimen politik.

”Mereka mengkritik bukan kerana takut rakyat tidak akan mendapat sebarang manfaat sebaliknya kerana dendam politik terhadap kerajaan negeri yang didokongi PAS,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat seluruhnya supaya melabur serta meningkatkan pelaburan masing-masing kerana keuntungannya bakal diperolehi lebih besar khususnya penghujung tahun ini.

Menurutnya, kejatuhan dollar Amerika yang tidak berjaya mengekang kewangan ekonominya disamping jumlah hutang yang kian banyak, akan memberi ruang kenaikan keuntungan harga emas pada masa akan datang.

Tiada ulasan: