Isnin, 8 Ogos 2011

JADIKAN KERAJAAN BERSIH..BERMARUAH...BUKAN KERAJAAN YANG BERMAIN AUTA2...CUMA AUTA2 NI TAK LAGI LAKU DIPADANG MAHSYAR..YANG TERLIBAT AUTA2 NI..DIHUKUM

Isu Jais tenggelamkan warga asing daftar pemilih
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Isu penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan Gereja Methodist Damansara Utama telah menenggelamkan isu yang cukup merbahaya kepada negara iaitu isu MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih SPR.

“Setakat hari ini jawapan yang diberikan oleh SPR diketawakan oleh orang pekak dan buta. Manakala media perdana BN cuba menimbus isu pendaftaran ini,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, PAS telah membuat keputusan untuk bertemu secara langsung dengan pihak Jais dan juga gereja Methodist untuk mendapat gambaran sebenar.

“Negara kita ada undang-undang, siapa yang bersalah akan dihukum. Media bukan gelanggang untuk menyelesaikan perkara ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, Pemimpin umno dan NGO umno macam dilanda histeria mengenai isu itu, kononnya merekalah pembela agama.

Tegasnya, PAS istiqamah menentang isu murtad di negara ini.

Soalnya, di mana suara Umno dan Utusan ketika isu Noraishah Bukhari, Hartina Kamarudin dan lain lagi yang keluar agama Islam.

Tambahnya, sejarah telah mencatatkan berlaku penangkapan ISA terhadap pemimpin pemuda PASdalam operasi Lallang 1987 kerana isu kristianisasi.

“Tahniahlah kepada pemimpin Umno dan media Umno kerana baru sedar bahayanya murtad.

“Kita harapkan janganlah kerana politik semata-mata. Samalah ketika isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam, Umno menjadi juara,” ujarnya.

Tetapi, katanya dalam masa yang sama menentang hukum Allah dan menyekat ajaran Allah diajar di dalam surau dan masjid.

“Pelik juga Umno, nama Allah dipertahan, hukum Allah dia lawan,” ujarnya lagi.

Tanya beliau lagi, kenapa Umno diam membisu apabila ahli MCA hendak saman kerajaan Kelantan kerana isu pengharaman judi.

“Sepatutnya kalau Umno pejuang Islam kena nasihatlah rakan sejawat mereka. Sudah 54 tahun berkawan pun Umno tidak boleh dakwah, bahawa judi itu bahaya pada masyarakat,” katanya.


Jualan bersilang MAS-AirAsia bakal lahirkan monopoli
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Langkah kerajaan menjual saham MAS kepada Air Asia sebanyak 20 peratus melalui pertukaran saham akan membentuk monopoli dalam industri penerbangan negara dan bakal merugikan negara dan rakyat.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia berupa satu bail out oleh CEO Air Asia, Tony Fernandes yang rugikan rakyat dan pengguna akhirnya.

Beliau mengulas tindakan Khazanah Nasional yang menjual 20 peratus daripada 69 peratus saham yang dimilkinya dalam MAS kepada Tony Fernandes secara 'penjualan bersilang' (share swap) dengan saham Air Asia yang dimilikki oleh Tune Air Sdn Bhd. Sebaliknya Khazanah juga akan membeli sejumlah saham Tune Air.

Dengan harga saham MAS yang berada pada RM1.60 satu saham, tentunya Tony Fernandez boleh senyum lebar kerana saham Air Asia pada harga RM3.60 satu saham.

"Kita sedar MAS hadapi kerugian bersih RM243.3 juta untuk suku pertama tahun ini berbanding keuntungan sebanyak RM310.6 juta untuk tempoh yang sama tahun 2010 dahulu.

"Kita juga faham, MAS dalam unjuran kerugian untuk tahun ini,kalau sesuatu yang drastik tidak dilakukan.

"Tetapi tindakan ini bukan jalan penyelesaiannya bahkan rakyat dan penggunalah yang bakal rugi. Ini bukan sahaja pandangan saya sahaja bahkan dikhuatiri pelbagai pihak" kata beliau kepada Harakahdaily.

Ini kerana, selepas ini MAS dan Air Asia akan saling menjaga kepentingan antara satu sama dan tidak ada lagi pertandingan sihat dalam industri apatah lagi dalam penerbangan bajet rendah ini.
Mungkin ia adalah ‘win-win’ bagi mereka tetapi apakah ia boleh menjamin bahawa rakyat akan juga ‘win’ atau menang, soal Dr Dzulkefli yang juga AJK PAS Pusat itu.

Menurut Dr Dzul, pihaknya sedar selain masalah yang ada, MAS juga terpaksa memikul bebanan yang ditiggalkan oleh bekas CEOnya yang membuat pelbagai onar sebelum dikemudi oleh Datuk Seri Idris Jala.

Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan menarik Idris Jala dari MAS ke kabinet sebelum ini kerana ternyata usaha yang dibuatnya di MAS masih belum sampai ke penghujungnya.

Beliau juga menyatakan bahawa sebenarnya Idris Jala juga bukanlah hebat sangat pun, kerana beliau belum lagi menunjukkan kehebatan dalam usaha ‘turn-around’ atau menghidupkan kembali MAS.

Ada yang berpandangan bahawa ia adalah satu ‘cretaive accounting’ sahaja dalam erti menyusun balik aset-aset atau “assets realignment”.

"MAS sebenarnya memerlukan seorang ketua eksekutif seperti Tony Fernandes untuk memimpinnya tetapi bukan dengan membawa batang tubuh Tony Fernandes itu sendiri atau ‘pergabungan’ dengan syarikatnya ke dalam MAS," kata beliau.

"Jadi bila terjadi semacam ini kepada MAS, nampak sangat andaian itu betul dan selepas ini apa pula akan berlaku kepada Pemudah yang beliau ketuai di kerajaan BN," kata Dr Dzulkefly yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.

Di samping itu, beliau juga melahirkan rasa bimbang, masalah barangan pengguna yang sedang dihadapi oleh negara sekarang akan berjangkit kepada industri penerbangan pula.

"Kita hadapai masalah gula, beras, tepung dan minyak kerana pemberian permit kepada syarikat dan kelompok kroni yang menjadikan harga beras contohnya terlalu tinggi dari yang sepatutnya.

"Ini berlaku kerana Bernas adalah pengimport utama dan penentu kepada harga beras khususnya yang dimport. Bayangkan jika ramai lagi pihak atau syarikat diiizinkan mengimport beras maka harga akan tertakluk kepada kuasa pasaran dan akhirnya akan menyebelahi rakyat dan tidak mencekik rakyat," tambah beliau.

Tepung, gula dan minyak pula ada ‘oligarki’ beberapa pengimport dan merekalah penentu harga. Ini masalah di negara kita ini yang membebankan rakyat.

“Apakah industri penerbangan (aviation) juga bakal menyaksikan monopoli ini?”, Tanya beliau, sinis.

Semua ini, kata beliau, bertentangan dengan semngat Akta Persaingan yang menghalang pembentukan monopoli atau kartel (oligarki) yang sepatutnya dilaksanakan di negara ini tahun 2012 nanti.

Apakah mereka lakukan ini semua sekarang bagi mengelakkan undang-undang tersebut (Akta Persaingan-Anti-Trust)?

MPSP amal 'menang-menang' atasi masalah peniaga
Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 8 Ogos: Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengamalkan sikap 'menang-menang' dalam usaha mengatasi masalah para peniaga di up town, Bandar Perda, kata yang dipertuanya, Maimunah Sharif (gambar).

Usaha itu dibuat supaya para peniaga bazar Ramadhan, peniaga premis kekal serta orang ramai mengecapi keselesaan lalu lintas terutamanya menjelang petang dan malam sepanjang Ramadhan.

Justeru itu tambahnya, kepada para peniaga bazar Ramadhan yang masih enggan mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh MPSP khasnya mereka yang mendirikan khemah (kanopi) kekal di kawasan yang bukan dibenarkan akan diroboh menjelang Isnin ini.

"Pihak MPSP telah pun mengeluarkan notis amaran dan tarikhnya pun dah tamat tetapi kita tidak mahu bertindak melulu melainkan berhemah. Saya mahukan semua pihak sama-sama bertolak ansur supaya tidak ada sesiapa yang terinaya dalam masalah itu," ujarnya kepada media di Pejabat MPSP pagi tadi.

Para peniaga tegas beliau, masih boleh menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa dengan mendirikan kanopi kecil yang oleh dibawa pulang, memastikan kenderaan mereka tidak menjadi stor atau mengikat alatan perniagaan mereka di pokok berhampiran.

Perbuatan tersebut jelas Maimunah, mencacatkan pemandangan ekoran langkah MPSP yang mementingkan persekitaran yang bersih, aman dan harmoni.

Setiausaha MPSP, Rozali Mohamud berkata, kawasan yang dibenarkan mendirikan kanopi kekal ialah di tapak letak kereta di hadapan Nasi Kandar Nasymir manakala di kawasan lain mesti memunggah barang perniagaan mereka setelah selesai berniaga pada tengah malam agar kawasan berkenaan boleh diguna oleh orang ramai untuk meletak kenderaan.

Setakat hari ini, tinggal 16 peniaga lagi yang masih tidak merobohkan kanopi manakala 3 daripadanya telah berbuat demikian.

Pembinaan kanopi kekal di luar kawasan up town menyebabkan lalu lintas senantiasa sesak, pelanggan premis sedia ada tidak dapat masuk ke lokasi dan menyebabkan tempat letak kereta tidak dapat digunakan pada siang hari.

"Para peniaga dari susur Petronas sehingga ke jalan hujung Lorong Perda Utama 1 hendaklah memunggah kanopi selepas berniaga agar pemandangan di situ cantik dan indah," ujarnya pada majlis yang sama.


Seluruh parti Masitah bergelejat dengan PAS
Mohamed Zainal Abidin Hussin

Corak penulisan yang saya amat tidak gemar ialah mengulas tulisan orang lain. Rasanya tidak ada karya seperti itu pernah saya hasilkan.

Membaca tulisan Dr. Masitah pagi ini menjadikan saya terpaksa melupakan kebencian ini.

Pas - Parti Aloh Sokmo - begitulah bunyi tajuk artikel timbalan menteri agama yang terkenal ini.

Sebenarnya bukan beliau seorang. Seluruh tubuh badan parti sekongkol Masitah sedang bergelejat dengan perkembangan PAS sekarang.

PAS mulai memasuki era baru. Dari satu parti yang disokong oleh tok lebai dan pemberontak kampungan, kini parti ini mendapat perhatian banyak pihak.

Satu gelombang dulu para pelajar IPT dan profesional Malayu berjinak dan membantu PAS.

Lihat saja sekarang siapa yang jadi AJK PAS pusat. Mereka lulus Ph.D, Sarjana dan hampir tiada lagi yang tidak berijazah.

Kalau rajin pergilah banci pimpinan peringkat negeri-negeri. Di negeri yang katanya PAS lemah seperti Melaka, Johor dan Sabah pun pemimpin mereka bukan calang orang. Doktor, Engineer dan akauntan bersepah.

Turun lagi ke peringkat kawasan (Parlimen). Kalau berani bandingkan kelulusan mereka yang duduk dalam jawatankuasa PAS berbanding dengan parti sekongkol Masitah, sesiapa saja akan terkejut beruk.

Semua ini dah lama diperhatikan oleh orang-orang yang waras dan tidak biul. Sebab itu ombak landaan PAS tidak surut-surut. Pasang dan terus pasang.

Orang tua, orang muda, orang berpelajaran malah orang kurang pelajaran semakin percaya PAS parti bagus. Parti yang tidak tipu orang. Parti yang para pemimpinnya boleh ditumpangi dunia dan akhirat.

Meskipun diasak alat propaganda parti sekongkol Masitah. TV habis Channel ajak orang benci PAS. Akhbar berpermit tiada langsung benar orang tengok PAS baik. Radio yang ada berpuluh (mungkin beratus) setesen semuanya terbahak-bahak bawa mazhab anti-PAS.

Semuanya tidak dapat halang orang ramai semakin dekat dan percaya pada PAS.

Fenomena terkini ialah peminat-peminat baru PAS dari kalangan yang tidak pernah terfikir oleh parti puak sekongkol Masitah.

Mereka yang tidak amal Islam, malah mereka yang menganut agama bukan Islam turut percaya PAS lebih baik dibuat kawan berbanding parti-parti sekongkol Masitah.

Mereka tengok betul PAS parti miskin. Parti orang kecil tanpa pangkat itu pangkat ini, syer itu syer ini. PAS memang tidak pandai berhibur pelik-pelik dan menghabis duit beli cincin mahal-mahal. Tapi mereka buat kesimpulan jenis parti macam ni tak tipu orang. Destinasi wajib harian surau dan masjid. Kawan-kawan tiada perompak, penyamun atau jauh sekali along.

Niat orang duduk dengan PAS ialah nak amal Islam. Mula-mula untuk dirinya sendiri. Bila kahwin ada isteri dan anak, mereka mahu semua ikut apa yang dia buat. Dengan kuasa yang sah sebagai suami dan bapa kalau perlu berkeras sikit untuk tujuan kebaikan.

Kalau ditakdir dapat jadi ketua di pejabat ke, di kawasan kediaman ke, sahsiah Islam yang dia amal diminta orang di bawah jagaan buat sama.

Dalam konteks politik kerana diberitahu sesiapa boleh bertanding secara adil, maka ahli PAS masuk pilihanraya. Kalau ditakdirkan menang (macam di Kelantan) kita buat benda yang sama.

Kalau ini mahu dipanggil negara Islam. Negara Islamlah. Kalau nak panggil negera berkebajikan, negara berkebajikanlah.

Tok Guru Nik Aziz masa mula masuk pejabat MB Kelantan, wartawan tanya dia apa model pentadbiran yang dia akan pakai.

Dia jawab "Ambo nok Kelate jadi supo ambo". Maksudnya mudah. Dia orang Islam. Apa yang Allah suruh sedaya upaya perlu buat. Apa yang Allah larang sedaya upaya ditinggalkan.

Kita mewarisi sebuah negara yang kacau bilau dari segi Islam akibat angkara parti sekongkol Masitah. Kelantan hanya sebahagian Malaysia. Memang telah banyak berbeza. Masjid dimakmurkan. Kebajikan rakyat diutamakan. Pintu maksiat ditutup. Tiada premis judi berlesen, arak hanya dijual kepada non-muslim dengan pengutkuasaan ketat, tiada bar dan kelab maksiat. Memang tidak mungkin Kelantan ada undang-undang lain kerana ia sebahagian dari Malaysia.

Sebenarnya tiada apa masalah di sini. Sudah 20 tahun lebih Tok Guru jadi MB. Orang bukan Islam tidak pernah kedengaran bermasalah.

Kini PAS turut didekati kumpulan-kumpulan baru. Kelab Penyokong PAS terdiri dari mereka yang belum Islam tapi datang kepada PAS untuk memberi sokongan dalam konteks politik.

Parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat, PKR, DAP dan lain-lain turut percaya bahawa PAS boleh jadi kawan yang baik kalau nak bentuk Malaysia baru yang tidak serupa dengan budaya kuno anjuran parti sekongkol Masitah.

Memang PAS tidak terdesak dengan salakan parti sekongkol Masitah supaya berkelahi dengan peminat-peminat barunya.

Tidak perlu PAS melalak ke sini sini kononnya aku benci arak, aku benci judi, aku benci murtad, aku benci budaya maksiat. Peminat baru PAS memang amat kenal PAS. Mereka sudah lama tahu apa yang PAS suka dan apa yang PAS tidak akan bertolak ansur.

Tidak perlu Masitah dan parti sekongkolnya nak ajar PAS bab ni. PAS akan bergerak terus dengan jatidiri dan kebaikannya sehingga akan sampai matlamatnya untuk menjadikan dunia ini "hasanah" dan menuju ke akhirat dengan "hasanah" menanti di sana.


PR: Pakatan anggap sidang parlimen paling baik
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Pakatan Rakyat hari ini menyerahkan surat rasmi kepada Datuk Seri Najib Razak bagi meminta Perdana Menteri itu memanggil satu sidang khas parlimen berkaitan isu penduduk tetap (PR) menjadi warganegara segera dan berdaftar sebagai pemilih.

Surat tersebut diserahkan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub kepada Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz yang mewakili perdana menteri di parlimen hari ini.

Turut serta pada penyerahan itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Dr Mohd Hata Ramli (PAS-Kuala Kerai), Khalid Samad (PAS-Shah Alam), Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dan Tony Pua (DAP-PJ Utara).

Pada sidang media sebelum itu, Salahudin yang juga Naib Presiden PAS berkata ia perlu diadakan segera kerana isu itu bukan sahaja membabitkan isu manipulasi pilihan raya, malah lebih besar adalah mengancam keselamatan negara.

"Kami rasa tiada tempat lain bagi membawa isu ini melainkan dibahas di parlimen.

"Jadi kami besepakat atas nama ahli parlimen Pakatan Rakyat meminta sidang khas parlimen diadakan dalam masa terdekat.

"Kita telah kumpul semua bukti dan akan mendedahkannya sekiranya parlimen bersidang," katanya.

Sebelum ini beberapa pendedahan dibuat pelbagai pihak mendakwa wujudnya penduduk tetap didaftar sebagai pemilih yang disemak melalui web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Antara yang ditemui termasuklah individu bernama Mismah yang berstatus penduduk tetap namun berdaftar sebagai pungundi di Dun Ijok.

Selepas beberapa jam didedahkan oleh media, status Mismah bagaimanapun bertukar menjadi warganegara sekaligus membolehkan beliau mempunyai hak mengundi.

Pendedahan itu juga telah membawa kepada penemuan lebih 1,108 lagi kes serupa di Selangor dan 52 kes di Titiwangsa.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh SPR dan juga JPN yang mendakwa Mismah sememangnya sudah menjadi warganegara sejak Disember tahun lalu.

Menurut Salahudin lagi, sehingga kini masih terdapat kes warga PR didaftar sebagai pemilih dalam daftar pemilih SPR.

"Kita minta sidang parlimen, jangan sampai nanti kita adakan Bersih 3. Kita anggap sidang parlimen adalah paling baik.

Sementara itu, Nazri pada sidang medianya selepas itu tidak mahu mengulas lanjut perkara itu dan hanya memberitahu akan menyerahkan surat tersebut kepada Najib pada majlis berbuka puasa di kediaman perdana menteri di Putrajaya petang ini.

"Saya akan bawa kepada PMlah, setelah bincang mungkin kita boleh respons. Saya tak mahu nak mendahului PM dalam isu ini.

"Pada saya kalau ada bukti bawalah kepada SPR untuk disiasat," katanya.


Dun Kuala Semantan rayu derma
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 8 Ogos: Sempena bulan Ramadan, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin

Dun Kuala Semantan yang dimenangi PAS melalui calonnya, Syed Hamid Syed Mohamad pada PRU yang lalu mempunyai 11 UPU iaitu Paya Pulai, Tanjung Batu, Buntut Pulau, Pangsenam, Lebak, Bandar, Jalan Bahagia, Kampung Batu, Temerloh Jaya, Lubuk Paku dan Seri Semantan.

Menurut pembantu khas Adun, Ahmad Zubir Omar, bagi meneruskan acara tahunan tersebut sehingga kini pihaknya telah mengagihkan bantuan berkenaan mengikut unit peti undi (UPU) Dun berkenaan.

(Gambar: Syed Hamid sedang menghulur sumbangan di Kampung Batu Satu.)

“Bagaimanapun kita masih memerlukan sumbangan kewangan daripada yang berhajat untuk memanjangkan sedekah jariah bagi tujuan membantu golongan anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Kata Zubir, sumbangan wang juga diperlukan bagi dana pilihan raya untuk PRU 13.

Justeru itu sesiapa yang berhasrat untuk menyumbang boleh memasukkannya ke akaun BIMB 06028010048010 atau menghubungi pejabat Adun 013-9384199 untuk sebarangan bantuan dan pertanyaan.

“Segala bantuan untuk meneruskan pejuangan ini amatlah disanjung tinggi dan diucapkan jutaan terima kasih,” rayunya.


Saksi: Najib, Rosmah dipanggil ke mahkamah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dipanggil ke mahkamah sebagai saksi dalam kes perbicaraan fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor KeadilanDaily.

Najib dan Rosmah, mahkamah juga membenarkan pihak pembela, memanggil 18 saksi lain termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Perkara itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada awal perbicaraan yang menyaksikan hari pertama Anwar dipanggil membela diri.

Zabidin dalam keputusannya berkata apabila pendakwa raya menawarkan saksi, maka pendakwaraya bertanggungjawab memastikan saksi hadir ke mahkamah.

Hakim juga bersetuju peguam bela berhak menemubual saksi dengan syarat mereka sedia dipanggil.

“Justeru, mahkamah membenarkan kedua-dua permohonan (untuk temu bual 15 saksi) termasuk perdana menteri Najib Abdul Razak dan isterinya Rosmah, bekas IGP (Tan Sri Musa Hassan),” katanya.

Dalam permohonan sebelum ini, Anwar memohon mahkamah mengarahkan pihak pendakwa memastikan kehadiran semua saksi, yang ditawarkan di akhir kes mereka, untuk ditemu bual oleh pihak pembelaan.

Anwar mahu memanggil Najib, Rosmah, pemilik unit kondominium, Hasanuddin Abd Hamid, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Selain 5 saksi itu, Ketua Pembangkang itu juga mahu menemu bual 10 saksi alibi.

Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemu bual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan dijadualkan pada hari ini hingga 26 Ogos.


Klip video ‘Sembang-Kedai 1Malaysia’ fitnah DAP
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Klip video ‘Sembang Rakyat – Kedai 1Malaysia’ merupakan satu penipuan dan fitnah ke atas DAP yang bukan sahaja langsung tidak berasas tetapi berniat jahat serta berunsur hasutan.

Sehuhungan itu, Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari mengutuk dan mengecam hebat klip video yang boleh didapati di laman web Youtube itu.

Dalam klip video tersebut, yang merupakan hasil muatan naik pengguna Youtube yang bernama ‘Kawasaki9722’, DAP didakwa bersekongkol dengan ahli-ahli peniaga Cina untuk menaikkan harga barang di negara ini demi menimbulkan rasa kemarahan rakyat terhadap KerajaanBarisan Nasional.

“Seperti yang sedia maklum, antara faktor utama yang menyebabkan kenaikan harga barang di negara ini adalah pengurangan subsidi minyak, gas dan barang keperluan seperti gula.

“Subsidi-subsidi tersebut merupakan kawalan Kerajaan Persekutuan dan tidak ada kena mengena dengan pihak lain,” ujarnya dalam atu kenyataan.

Di samping itu, katanya syarikat yang mengawal industri gula pula adalah Felda, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tambahnya, faktor-faktor lain yang menyumbang kepada inflasi adalah kuasa pasaran antarabangsa yang berada diluar kawalan, dan juga ketidakcekapan dalam urustadbir ekonomi negara kita.

Sebagai contoh, ujarnya walaupun subsidi gas yang jumlahnya berbilion-bilion ringgit setiap tahun diberi kepada Penjana Tenaga Elektrik Bebas (IPP), tarif elektrik di negara kita makin meningkat.

“Bukankah tujuan pemberian subsidi itu untuk mengurangkan beban rakyat?” soalnya.

Beliau berkata, satu lagi contoh polisi yang menguntungkan syarikat besar dan membebankan rakyat adalah monopoli beras, yang dikawal oleh Bernas, sebuah lagi GLC.

“Oleh kerana monopoli yang mengekang pasaran beras ini, hasilnya harga beras import di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding harga beras import di Singapura,” ujarnya.

Hakikatnya, kata beliau kenaikan harga barang dan inflasi berlaku kerana ketirisan dan kepincangan dalam dasar dan urustadbir ekonomi negara kita.

Justeru, tambahnya kebertanggunjawaban bagi masalah inflasi harus dipikul oleh Kerajaan Persekutuan dan bukan mana-mana pihak lain, terutamanya DAP.

Dengan itu, soalnya bagaimana pula DAP boleh dikatakan terlibat walaupun sedikit.

Baginya, hipotesis sebegitu langsung tidak memasuki akal dan tidak akan diterima oleh rakyat Malaysia.

“Kami percaya bahawa klip video tersebut adalah satu rancangan musuh politik DAP dan Pakatan Rakyat yang bertujuan untuk memecah belahkan rakyat melalui propaganda perkauman yang sempit,” katanya.

Katanya, berdasarkan kualiti terbitan klip video tersebut, jelas ia bukan terbitan sembarangan tetapi telah dibuat secara profesional dengan peralatan dan peruntukan yang mencukupi.

Dalam erti kata lain, ujarnya klip video itu adalah angkara pihak-pihak tertentu yang mempunyai sumber yang mendalam dan yang sudah kekeringan modal.

“Satu-satunya cara yang tinggal untuk mereka adalah untuk menggunakan kaedah yang berbahaya yang bertujuan untuk menghasut dan mengapi-apikan sentimen perkauman,” katanya.

Beliau membuat laporan polis pada hari ini, diikuti dengan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kami berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan siasatan yang segera serta tindakan susulan yang sewajarnya ke atas penerbit dan penyebar klip video tersebut supaya tidak berlaku kekeliruan dan kesalahfahaman antara kaum di negara ini,” ujarnya.

Tentera, polis miliki 2 kad pengenalan?
Aslani

RANTAU PANJANG, 8 Ogos: Rahsia Umno dan Barisan Nasional (BN) berupaya mengekalkan kuasa sehingga 54 tahun kini terbongkar sedikit demi sedikit.

Sedangkan di negara lain tidak ada lagi parti yang mampu menguasai kerajaan dalam tempoh begitu lama seperti BN di Malaysia.

Rahsianya ada di sebalik undi pos dan keupayaan memperalatkan jabatan-jabatan penting kerajaan terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara dan pasukan polis.

Dan hari ini satu lagi kegiatan yang dianggap sulit dibongkar apabila ramai anggota polis dan tentera yang masih berkhidmat dikesan memiliki kad pengenalan awam.

“Mereka didapati memiliki dua kad pengenalan. Satunya kad sebagai anggota pasukan keselamatan bagi melayakkan mereka mengundi secara pos.

”Dan keduanya kad pengenalan awam. Kad pengenalan ini membolehkan mereka mengundi seperti orang lain.

”Setahu saya kad pengenalan awam disimpan di kementerian sekiranya seseorang anggota keselamatan itu masih berkhidmat,” kata Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun (gambar).

Beliau yang juga Adun Bukit Tuku mempersoalkan kenapa perkara sedeimikian boleh berlaku dan melahirkan rasa amat terkejut.

”Adakah ini merupakan satu agenda sulit kerajaan BN bagi mengekalkan kuasa. Saya ada bukti terhadap dakwaan ini.

”Beberapa kenalan anggota polis dan tentera mengakui mereka sekarang memiliki dua kad pengenalan diri,” katanya meluahkan rasa bimbang terhadap perkembangan itu.

Abdul Fatah yang juga bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan berkata, sekiranya pengakuan anggota polis dan tentera terbabit benar secara jelas menggambarkan kerajaan BN terpaksa menggunakan taktik kotor bagi mempertahankan kuasa.

Menurutnya juga sebab itulah kerajaan nampak beriya-iya mahu memperkenalkan kaedah biometrik menggantikan tuntutan Bersih 2.0 mengguna dakwat kekal ketika proses pengundian.

Kata beliau berdasar kepada banyak pendedahan yang berlaku sekarang nampak sangat kerajaan BN terpaksa bergantung kepada kaedah tidak bermoral bagi memanjang hayat kuasa.


Mahfuz, Salahuddin saman ketua polis, kerajaan
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub hari ini masing-masing memfailkan saman malu terhadap empat pihak ekoran penangkapan salah terhadap mereka pada 9 Julai lalu.

Empat pihak tersebut adalah Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Brickfields dan seorang anggota polis Inspektor Mohd Zaid Madzizat.

Saman itu difailkan menerusi syarikat guaman Tetuan Faiz Fadzil & Co bersama peguam Zulhazmi Sharif, masing-masing di Mahkamah Tinggi Jalan Duta kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Kedua-dua Naib Presiden PAS itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantirugi teladan, kos serta lain-lain relif atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Selaian itu, mereka juga menuntut faedah pada kadar 8 peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh writ saman sehingga penyelesaian penuh.

Pada sidang medianya, Mahfuz yang juag Ahli Parlimen Pokok Sena memberitahu tindakan saman itu dibuat sebagai memberi peringatan dan pengajaran kepada pihak kerajaan agar tidak melakukan sesuatu sesuka hati di luar undang-undang.

"Kami anggap tangkapan ini telah memberi gambaran buruk kepada kami seolah-olah kami melakukan kesalahan.

"Jumlah tuntutan gantirugi kita akan bincang dengan peguam, namun saya kira tidak kurang dari RM1 juta," katanya.

Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian pula turut sependapat bahawa tindakan saman itu sebagai teguran kepada kerajaan dan pihak polis.

"Ini bukan untuk diri kami tetapi sebagai teguran agar kerajaan bertindak secara adil," katanya.

Mereka sebelum ini mendakwa penahanan mereka di KL Sentral ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu adalah tidak sah.

Katanya, penahanan yang dilakukan oleh pihak polis adalah di luar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan untuk dimasuki oleh mereka.

Mereka ditangkap kira-kira pukul 11.50 pagi sebelum ditahan hampir 10 jam di lokap polis di Balai Polis Jinjang.

Sepanjang dalam tahanan juga, pihak polis tidak mengambil apa-apa keterangan daripada mereka.

Mereka juga tidak diberitahu sebab-sebab penahanan mereka.

Mereka juga tidak dibenarkan menghubungi dan bertemu peguam dan keluarganya dan ini adalah bertentangan dengan Seksyen 28A (2) Kanun Prosedur Jenayah.

Ekoran tindakan di luar undang-undang yang dilakukan oleh pihak polis ke atas beliau dan Mahfuz itu, beliau telah membuat laporan polis pada 11 Julai lalu.

Tiada ulasan: