Selasa, 9 Ogos 2011

PENDUDUK ASAL...TAPI DIABAIKAN....JANGAN KITA NAFIKAN HAKNYA....UNDINYA KITA HENDAK..

Sediakan penempatan selamat untuk orang asli
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat mengingatkan kerajaan negeri agar mengutamakan aspek keselamatan sebelum meluluskan sebarang projek pembangunan khususnya di kawasan tanah tinggi.

Pengerusinya, Zulkifli Omar berkata, projek-projek pembangunan di kawasan tanah tinggi dan cerun bukit harus dipantau bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh.

"Lajnah alam sekitar menyarankan semua kerajaan negeri memastikan semua peraturan pembangunan dan kediaman yang dibuat semua pihak dipatuhi dan tidak dibuat di kawasan cerun," kata beliau kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang, Cameron Highlands, Ahad lalu.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, berlaku banjir lumpur dan tanah runtuh selepas hujan lebat sejak 5 petang sehingga menimbus tiga rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di perkampungan berbukit berkenaan.

Banjir lumpur itu akibat sebuah projek perumahan yang berhampiran.

Tragedi itu meragut tujuh nyawa termasuk empat wanita, manakala dua lagi parah.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Normadiah Lasik, 69, Ali Hassan, 50; Jaafar, 49; Mohd Ikbal Jaafar, 15; Sara Gunung, 37; Norma Gunung, 51; dan Yusnizan Yusof, 22, manakala yang parah pula ialah Bah Anjang Besar a/l Anjang, 39, dan Serry Priary a/p Suri, 15 tahun.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, Zulkifli juga berkata, keselamatan orang asli harus juga harus diambil kira sebelum meluluskan aktiviti pembangunan.

"PAS mengharapkan kerajaan negeri juga bertanggungjawab terhadap keselamatan orang asli, maksudnya melihat semula penempatan orang asli terutama di tempat curam yang membahayakan mereka," katanya.

Selain itu, beliau juga berharap agar kerajaan menyediakan penempatan baru yang lebih selamat kepada orang asli.

"Kita harapkan kerajaan membantu mangsa-mangsa ini dengan memastikan mana-mana orang asli yang tinggal di kawasan cerun tinggi dapat penempatan baru yang selamat.

"Kerajaan harus prihatin dengan kehidupan masyarakat tanpa mengira kaum selaras dengan slogan 1Malaysia," katanya.

Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil yang terletak kira-kira dua kilometer dari Jalan Brinchang-Tanah Rata mempunyai 45 buah rumah yang didiami kira-kira 1,300 penghuni dan merupakan perkampungan Orang Asli paling lama wujud di sini.

Buku Negara Berkebajikan tajdid siyasi PAS
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Pelancaran buku karangan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjudul Konsep Asas Negara Berkebajikan merupakan satu lagi siri gerakan tajdid siyasi di Malaysia dalam mempelopori Negara Berkebajikan yang dibawa oleh PAS seperti mana yang ditegaskan dalam muktamar yang lepas.

“Pelancaran buku ini sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia yang dahagakan keadilan,” kata Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din.

Katanya, buku tersebut mengandungi 7 bahagian perbincangan yang bermula dengan kupasan tentang ciri Negara Berkebajikan dan berakhir dengan kupasan berkenaan ‘Agenda PAS Ganti Umno’.

Buku itu, ujarnya mengandungi 86 halaman dengan kupasan yang sangat menarik yang berkisar tentang konsep asas Negara Berkebajikan.

Menurutnya, di antara perkara yang diulas oleh Tuan Guru Presiden di dalam buku karangan beliau tersebut ialah berkenaan ciri-ciri Negara Berkebajikan dan perbezaan di antara Negara Berkebajikan (Nation Of Care and Opportunity) dengan Negara Kebajikan (Welfare State) bawaan Barat.

Beliau berkata, buka itu memberikan erti yang sangat besar kepada perjuangan untuk menegakkan keadilan di Malaysia ketika mana Umno BN menjuarai kezaliman dan ketidakadilan di negara ini.

Menurutnya Iagi, buka berkenaan sangat memberikan signifikan yang besar apabila dilancarkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2 Ramadhan lalu di qaryah Ramadhan, Kota Bharu yang mana Allah SWT senantiasa menekankan peri pentingnya menjaga kebajikan sesama manusia.

“Umno sudah tidak relevan lagi untuk rakyat Malaysia, rakyat Malaysia memerlukan suatu perubahan yang besar untuk mencapai cita-cita keadilan yang sebenar,” ujar beliau lagi.

Beliau juga turut melahirkan keyakinan bahawa Dewan Ulamak PAS Pusat akan memainkan peranan yang positif dalam usaha memastikan impian untuk mewujudkan sebuah Negara Berkebajikan yang selari dengan tuntutan Islam dapat direalisasikan.

Buku itu diterbitkan oleh Pejabat Presiden PAS dan Dewan Ulamak PAS Pusat.


“Oh” Dengarlah “Jeritan Batinku”
A Samad Said

KETIKA ini sebenarnya saya sedang hanya bersama Merjah—hewan khayalan saya. Kami meninggalkan sedetik tasik warga hewan yang damai itu. Sekali ini kami tidak bersama kumpulan pipit, merpati, rusa, monyet, kambing dan, ya, sang buaya!

Memang saya bersama Merjah saja. Dan, di kafe mini di KL Sentral.

Ada pesanan lara yang ingin saya sampaikan kepada wakil masyarakat hewan. Selama ini masyarakat insan tidak sedia menerimanya. Dan Merjah (yang wujud di mata saya dan ghaib di mata khalayak) sedia menerimanya.

Dengan mewabakkan penyakit “warga segera” (kata saya kepada Merjah), maka berertilah kerajaan Umbarnas hanya berfikir tentang manfaat terkininya semata. Kerajaan tampaknya seolah tidak selesa berfikir tentang kesan tindak cemarnya itu.

Ternyata, memang tidak cukup sekadar menyimbahkan “upahan segera” hampir ke setiap ceruk yang mudah terpujuk ternyata semakin galak dibudayakan. Orang memberi bukan ketika menjelang pilihan raya. Itu berbau rasuah. Orang berjanji ketika menjelang pilihan raya. Itu baru segak.

Kalau kita tidak menyanggah wabak penyakit kongkalikong ini, (kata saya kepada Merjah yang separuh Merak separuh Gajah) berertilah kita bantu menjangkitkan penyakit manipulasi kuasa. Kita tohor. Malah kita kotor! Sebab, kita bantu mencipta kuasa demi memulakan—kemudiannya melestarikan—budaya gelumang dosa.

Memang kini kita sudah pun sampai ke tahap kekalutan kuasa secemar-cemarnya.

Kerajaan Umbarnas terus degil—enggan melayan saranan Bersih. Mereka seolah-olah sangat yakin terhadap tindakan matlamat menghalalkan cara. Ya, kuasa itu nikmat.

Kata saya kepada Merjah: Cukuplah dekad kuasa elita bangsawan selama lebih lima dekad itu. Janji menyuburi ekuiti bangsa pun mereka gagal seburuknya? Malah keluhuran bahasa dalam Perlembagaan pun mereka langgari. Perlembagaan tidak murni? Dan banyak lagi senarai kebobrokannya. Mereka suburkan semangat kronisma senyala-nyalanya dan melahap dana negara seghairah-ghairahnya. Kita lalui lima dekad yang lahap!

Makanya, cubalah menjadi anak lelaki yang sedia memungkinkan tafsiran kuasa terbaru. Jengahlah bagaimana kini Kerajaan India menangangi skandal ala Scorpene-nya dan memperelok landas demokrasinya. Rata-ratanya yang bergerak itu golongan bawahan—paling utama Anna Harare! Mereka sedang mempercantik wajah dan mempermurni batin bangsanya. Tidak mustahil kelompok daripada golongan murbawan kita juga berupaya menyembuhkan penyakit lahap kuasa yang sedang meraja-raja itu. “Oh” dengarlah “Jeritan Batinku.”

Cukuplah dedekad kuasa elita bangsawan. Kini, benarkanlah pula upaya permulaan era kuasa murbawan untuk menerjemahkan erti kuasanya pula.

Hentikanlah cengkaman dan kesombongan lama. Belajarlah bersantun menerima pusaran nasib demi kebahagiaan bangsa.

Khusus kepada generasi muda, sedarlah kebobrokan ini. Jangan risaukan sangat orang lama; mereka memang sudah lebih awal termadu atau tercandu. Anda yang masih BERSIH!


Tanah runtuh: Nik Aziz kongsi kesedihan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: “Saya berkongsi kesedihan dengan keluarga tujuh mangsa tragedi tanah runtuh yang di perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang,” kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru, beliau melalui Facebook berharap semoga mereka dapat bersabar di atas bencana yang menimpa.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menambah, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada musibah itu.

“Sekali lagi saya mengucapkan takziah, kepada mangsa yang beragama Islam, semoga Allah SWT merahmati rohnya dan ditempatkan bersama hamba-hambaNya yang soleh,” ujarnya lagi.

Dalam kejadian yang berlaku jam 5.45 petang kelmarin, berlaku banjir lumpur dan tanah runtuh selepas hujan lebat sejak 5 petang sehingga menimbus tiga rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di perkampungan berbukit berkenaan.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Normadiah Lasik, 69, Ali Hassan, 50; Jaafar, 49; Mohd Ikbal Jaafar, 15; Sara Gunung, 37; Norma Gunung, 51; dan Yusnizan Yusof, 22, manakala yang parah pula ialah Bah Anjang Besar a/l Anjang, 39, dan Serry Priary a/p Suri, 15 tahun.

Semalam, PAS Pahang merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan dalam masa terdekat akan ke sana menyampaikan sumbangan.

“Serentak dengan itu juga kita meminta kerajaan negeri segera memantau penerokaan tanah di kawasan tanah tinggi itu kerana biasanya banjir lumpur dan hakisan tanah berlaku akibat operasi penebangan balak yang tidak terkawal,” kata pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


Tiada ulasan: