Selasa, 2 Ogos 2011

PUASA ADALAH IBADAH TERGULUNG DALAM RUKUN ISLAM...JANGAN JADI ADAT...PUASA TAPI TAK SOLAT SERTA BUAT MUNGKAR YANG LAIN...

Ramadhan bukan sekadar ruhiyah tapi bulan siyasah
Ustaz Abu Bakar Hussain

Umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia menyambut kedatangan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, Ramadan al-Mubarak dengan penuh kegembiraan dan keinsafan.

Ia bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi lebih penting pada bulan ini hukum dan perlembagaan tertinggi buat umat manusia, al-Quran, diturunkan Allah SWT.

"Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah)." (maksud al Baqarah: 185)

Melalui al-Quran, maka Allah SWT menyelesaikan segala kemelut dan permasalahan manusia khasnya bagi mereka yang mahu menjunjung dan melaksanakannya.

Oleh itu bulan Ramadan ini bukan sekadar bulan ruhiyah (spiritual) bagi mereka yang tekun menghayatinya tetapi ia sebenarnya bulan siyasiyah (politik) kerana di bulan inilah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW.

Di samping kita mengejar manfaat dan kelebihan Ramadan sebagai bulan ruhiyah kita juga wajar menghayatinya sebagai bulan siyasiah bagi mengembelengkan seluruh tenaga dalam meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita hanyalah apabila kita kembali kepada al-Quran yang diturunkan pada bulan ini di samping berpegang teguh kepada Sunnah Rasul-Nya.

Di bulan penuh barakah ini jangan sekali-kali kita lupa nasib saudara-saudara kita di bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, di samping mereka yang sedang bertarung nyawa di Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai dan seluruh bumi umat Islam di dunia ini.

Titipkanlah doa di bulan yang penuh rahmat ini, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan dan kejayaan kepada mereka setelah sekian lama hidup dan menderita dalam kesengsaraan, darah dan air mata.

Semoga Ramadan tahun ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk mempertingkatkan amal ibadat menuju keredaan Allah di samping menyedarkan kita bahawa hanya Islam penyelamat kita di dunia dan di akhirat, lantas marilah kita sama-sama kembali kepadanya, InsyAAllah dengan bantuan Allah SWT, PAS Perak akan memimpin rakyat Perak kearah keredhaan Allah SWT

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Ramadan Kareem” kepada semua umat Islam, mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk sepanjang Ramadan ini akan terus memperteguhkan iltizam kita untuk sama-sama membela, mempertahan dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat.

Ustaz Abu Bakar Hussain
(Pesuruhjaya PAS Perak)


SPKB teruskan perjuangan Dr Lo’Lo’
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) kami akan meneruskan perjuangan Allahyarhamuha Dr Lo'Lo', bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, untuk membela nasib pemilik dan pewaris tanah Kg Baru.

Pengerusinya, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, SPKB adalah sebuah unit yang ditubuhkan di bawah Pusat Khidmat Masyarakat Wakil Rakyat Titiwangsa yang terdiri daripada pemilik tanah, pakar undang-undang, profesional, dan aktivis masyarakat yang selama ini memberikan sokongan kepakaran dan tenaga kepada Allahyarhamuha Dr Lo'Lo' untuk memastikan keadilan tertegak dalam usaha untuk membangunkan tanah Kg Baru.

"SPKB akan terus wujud selepas pemergian arwah untuk memastikan harapan beliau dan rakyat tercapai," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, selari dengan hasrat rakyat, SPKB menuntut agar Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg Baru 2010 (RUU PPKB) dimansuhkan.

Beliau berkata, SPKB ingin menegaskan bahawa apa sahaja cadangan pembangunan Kg Baru selepas ini mestilah dilakukan secara telus dan jujur dengan pemilik dan perwaris tanah selepas meminta pendapat, mengambil kira pandangan, dan mendapatkan persetujuan mereka sebelum dikemukakan di Parlimen.

Menurutnya, SPKB akan meneruskan program-program penerangan dan turun padang untuk menjelaskan kepada semua penduduk, perwaris dan pemilik tanah tentang cadangan pindaan kepada RUU PPKB yang dicadangkan kerajaan baru-baru ini.

SPKB, ujarnya berpendapat bahawa cadangan pindaan tersebut sangat mengelirukan kerana ia tidak mengubah langsung RUU PPKB yang telahpun dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada 17 Disember 2010 yang lalu.

Tegasnya, penduduk Kg Baru harus diberikan pemahaman yang jelas tentang perkara itu.

"Allahyarhamuha YB Dr Lo'Lo' telah berjuang sepanjang hayat beliau sehingga ke detik yang terakhir. Pengorbanan beliau adalah untuk rakyat dan perjuangan beliau akan diteruskan," ujarnya lagi.

Justeru, ujarnya SPKB mengajak semua pihak untuk mendoakan agar Allah memberikan sebaik-baik ganjaran kepada arwah dengan rahmatNya.


Bukan pengundi hantu saja, sempadan p'raya juga
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 1 Ogos: PAS Pahang berpendapat jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak komited mahu lakukan transformasi pilihan raya, ia bukan setakat menangani isu pengundi hantu.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal, berkata bahkan juga mesti menentukan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan secara benar mengikut geografi dan demografi sesuatu parlimen.

“Sebagai contoh persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun 2003 menyaksikan Parlimen Pekan merangkumi sebahagian daerah Kuantan iaitu memasukkan Kem Tentera Batu 9 dan Batu 10.

“Perubahan persempadanan tersebut amat tidak munasabah daripada segi geografi dan demografinya. Tetapi hasilnya Najib sendiri yang hanya menang tipis 241 undi pada PRU 1999, menang besar pada PRU 2004,” ujarnya.

Tambahnya, jika proses persempadanan semula yang dilakukan setiap 8 tahun sekali itu tidak diberi perhatian, tafsiran ramai akan tetap mengatakan SPR boleh dipergunakan untuk kepentingan parti pemerintah.

“Sebab itu negeri-negeri yang dikuasai PAS dan kawasan majoriti besar berpengundi Melayu tidak mendapat tambahan kerusi parlimen,” ujarnya.

Roslan berkata demikian sebagai mengulas laporan media hari ini yang memetik Najib komited menangani isu pengundi hantu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) antara aspek ditekankan pembangkang selama ini.

Menurutnya, sistem biometrik juga akan diperkenalkan akan menjadi kaedah terbaik mengatasi perkara itu yang sentiasa dibangkitkan pembangkang.

Berikutan itu, Najib berkata, pentadbirannya juga mahu memastikan agar transformasi pilihan raya dilakukan SPR.

Beliau mengulas desakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang dipengerusikan Datuk S Ambiga agar SPR menggunakan dakwat kekal bagi menangani isu pengundi hantu pada PRU-13.

Roslan berkata, Najib dan SPR juga mesti komited untuk mendaftarkan pengundi secara automatik apabila cukup syarat seseorang warganegara supaya nama pengundi tidak dimanupulasi.

“Kita mendakwa mempunyai sistem mykad tercanggih di dunia, jadi mengapa tak boleh daftar warganegara sebagai pengundi secara automatik?

“Kita cadang ia dilaksanakan, cuma pameran untuk semakan dan bantahan setiap suku tahun itu dikekalkan bagi check and balance,” katanya.

Tiada ulasan: