Selasa, 16 Ogos 2011

TAKUT KULIAH AGAMA...BERAT...MENENTANG KULIAH LAGI BERAT...MENYEKAT...LAGI BERAT....NI KESAN MERINGAN2KAN HUKUM DAN BELAJAR FARDU AIN...

Al-Quran wajib disampaikan tanpa halangan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) menegaskan bahawa Al-Quran mesti disampaikan kepada semua manusia tanpa tunduk kepada apa sahaja bentuk halangan.

Beliau menjelaskan bahawa tanggungjawab itu telah diterjemahkan dalam satu peristiwa yang berlaku ke atas Saidina Abu Bakar r.a sendiri ketika diberikan himayah (perlindungan keselamatan) oleh Ibnu Doghinah iaitu salah seorang pemimpin musyrikin pada ketika zaman permulaan Islam.

“Perlindungan keselamatan yang telah diberikan oleh Ibnu Daghinah ini telah digunakan oleh Saidina Abu Bakar r.a. untuk membaca dan mengajar al-Quran di rumah, ianya telah mendapat sambutan yang hangat daripada orang ramai sehinggakan menggelisahkan pemimpin musyrikin.

“Pemimpin musyrikin telah mengadukan hal tersebut kepada Ibnu Daghinah, lalu Ibnu Daghinah memanjangkakan hal tersebut kepada Saidina Abu Bakar r.a, lantas Saidina Abu Bakar memutuskan untuk tidak menggunakan himayah atau perlindungan tersebut kerana ingin meneruskan misi dakwahnya membaca dan mengajar al-Quran kepada orang ramai di rumah tersebut,” ujar beliau lagi.

Ditanya berkenaan amalan mengejutkan orang ramai sebelum Subuh, beliau seterusnya menjelaskan, pada zaman dulu diriwayatkan orang ramai agak sukar bangun pada awal pagi untuk bersolat Subuh, lalu sahabat mengambil tindakan berjalan mengelilingi kawasan tersebut untuk mengejutkan mereka sebelum Subuh.

“Dulu ada azan pertama, tapi kalau tak ada azan pertama, maka tak salah kalau menggunakan cara yang sesuai yang tidak bercanggah dengan Islam untuk mengejutkan orang ramai terutamanya pada zaman sekarang yang mana manusia agak jauh dari amalan Islam,” ujar beliau lagi.


Kelantan guna facebook dekati perantau
Aslani Mulhiq

KOTA BHARU, 16 Ogos: Kerajaan Kelantan memanfaatkan kemudahan dunia siber bagi mengumpulkan anak-anak perantau yang pulang bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Kalau sebelum ini surat dan kad jemputan dihantar, namun mulai tahun ini facebook yang paling diminati anak muda dimanfaatkan sepenuhnya.

Anda boleh melayari facebook.com/rayaperantau atau rossem bagi mendapatkan maklumat mengenai Majlis Mesra Aidilfitri pemimpin kerajaan negeri bersama anak-anak perantau.

Program itu akan diadakan pada 2 Syawal ini bertempat di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa bermula jam 7 petang.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan (gambar) berkata, kerajaan negeri memanfaatkan kemudahan facebook yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia ICT bagi memaklumkan program berkenaan.

“Kalau sebelum ini kita menghantar kad atau surat jemputan bagi memaklumkan program berkenaan, namun mulai tahun ini kita beralih kepada facebook.

“Facebook ternyata lebih berkesan kerana sudah menjadi trend sekarang ramai orang memiliki akaun facebook bagi mengetahui perkembangan semasa,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama media dan warga Urusetia Penerangan di sebuah restoran malam tadi.

Hadir sama wartawan-wartawan akhbar berbahasa Cina yang berpusat di Kota Bharu dan Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri, Drs Zainuddin Awang Hamat.

Majlis Mesra Aidilfitri tahun ini bermula dengan solat Maghrib, jamuan, persembahan kebudayaan dan ucapan pimpinan negeri.

Majlis berkenaan dianjurkan Urusetia Penerangan dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan).

Perakan semasa di bawah kepimpinan Allahyarham Mohamad Radzi Yusof berjaya didaftar sebagai sebuah pertubuhan sah. Selepas dilulus pendaftaran Perakan mengadakan mesyuarat agung pertama pada 1 Ogos 2010.

Perakan sebenarnya lahir hampir 20 tahun lalu pada peringkat awal diketuai Che Ariffin Mahmood, seorang ahli perniagaan.

Pada akhir Syaaban lalu kerajaan negeri dan Perakan juga menganjurkan program Himpunan Anak Kelantan di perantauan di Stadium MPPJ, Kelana Jaya, Selangor.

Dr Fadzli juga berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama sebuah syarikat telekomunikasi akan memastikan hampir 70 peratus liputan internet di Kelantan dalam masa terdekat ini.

”Syarikat tersebut akan menyediakan kemudahan tersebut bagi membolehkan kawasan liputan internet lebih luas sehingga ke kawasan pedalaman,” ujarnya.


Umno takut kuliah agama jadi ceramah politik
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Kejahilan para pemimpin dan penyokong-penyokong Umno dalam agama terserlah, apabila ceramah Israk Mikraj yang akan disampaikan oleh penceramah PAS atas undangan mereka sendiri, diminta dibatalkan kerana bimbang akan dijadikan ceramah politik.

Sebagai gantinya, majlis ceramah itu diarahkan ditukar kepada majlis bacaan surah Yaasin, seperti yang lazim diamalkan oleh masyarakat kita pada setiap malam Jumaat, dengan diketuai oleh penceramah terbabit dengan serta merta oleh pihak penganjur atas arahan pemimpin atasan Umno.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Solehin Muhyi menjelaskan, kejadian itu pernah dialami oleh beliau sendiri sekitar tahun 2001 lalu, apabila diundang oleh pihak pentadbiran sebuah masjid di Shah Alam yang dibarisi pemimpin dan penyokong Umno untuk menyampaikan ceramah di masjid itu pada suatu malam.

Menurut beliau, ketika arahan pertukaran majlis ceramah kepada bacaan Yaasin itu diberikan kepada beliau oleh pihak pengurusan masjid itu, beliau sudah pun memegang mikrofon untuk memulakan ceramah Israk Mikraj seperti yang dijadualkan.

Katanya, beliau yang datang dari Sabak Bernam, Selangor dengan mengambil masa sekitar sejam untuk sampai ke masjid itu, amat hairan dan kecewa dengan sikap pihak pengurusan masjid tersebut kerana mahu menukar jadual tersebut dalam masa mendadak.

"Apabila saya bertanya kepada pihak penganjur yang datang berbisik kepada saya untuk memberikan arahan itu, saya terus diberitahu oleh pihak penganjur bahawa pertukaran tersebut terpaksa dilakukan atas arahan pihak atasan, iaitu pemimpin tertinggi Umno," katanya ketika menyampaikan tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, arahan tersebut tidak dilaksanakan oleh beliau kerana memikirkan tanggungjawab yang terpikul di bahunya berhubung tugas penyebaran ilmu kepada orang ramai, di samping kerugian yang pasti dihadapi oleh masyarakat sekitarnya berhubung kepentingan menuntut ilmu.

"Mengikut jadual, ceramah itu pun bukannya panjang, hanya untuk satu jam sahaja. Jadi pada pandangan saya, jika hanya untuk ceramah sependek itu pun tak dibenarkan, bagaimanakah lagi masyarakat sekitar akan terdidik dengan didikan agama?

"Memikirkan tentang kewajipan dan kepentingan itulah, saya enggan mematuhi arahan itu dan bertegas untuk menyampaikan ceramah Israk Mikraj juga seperti yang dirancangkan sebelumnya," jelasnya.

Ketegasan beliau itu bagaimanapun tetap ditentang oleh pihak penganjur sehingga akhirnya memaksa beliau mengambil jalan tengah dengan tidak menukarkan majlis itu kepada bacaan surah Yaasin, tetapi tazkirah surah Yaasin.

Sungguhpun begitu, majlis tersebut tetap dikenakan sekatan tertentu oleh pihak penganjur bagi menghalang didengar oleh orang ramai di luar masjid, dengan disyaratkan tidak boleh menggunakan alat pembesar suara.

"Atas kepentingan dakwah, saya terpaksalah juga mematuhi arahan itu agar dapat menyampaikan perkara-perkara yang berguna kepada orang ramai berkaitan surah Yaasin," katanya.

Menerusi skop yang begitu terbatas itu, beliau antara lain memfokuskan tazkirahnya kepada kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya, kepentingan setiap kita mendapatkan kasih sayang Allah dengan beribadat dan keistimewaan orang yang mendapat kasih sayang Allah sehingga dijemput untuk masuk ke dalam syurga dengan tenang di akhirat nanti.

"Begitulah teruknya sikap para pemimpin dan penyokong-penyokong Umno. Mereka begitu takut untuk menyebarkan ilmu kerana bimbang orang ramai akan memberikan sokongan kepada PAS, tidak lagi kepada Umno BN.

"Untuk membolehkan mereka kekal berkuasa, mereka tergamak menyekat perkembangan ilmu terhadap orang ramai sehinggakan ceramah Israk Mikraj pun disangkakan akan dijadikan ceramah politik oleh saya. Pada hal saya langsung tidak berniat untuk menyampaikan ceramah politik pada majlis itu," katanya.

Bagaimanapun, kebangkitan rakyat tetap tidak mampu disekat oleh Umno BN, apabila rakyat Selangor telah memberikan undi kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada tahun 2008 lalu bagi membolehkan Selangor diperintahkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.

Gereja: Jangan masuk perangkap Umno
Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 15 Ogos: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyeru pemimpin dan ahli PAS supaya tidak terperangkap atau terjebak dengan ‘perangkap’ Umno dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan gereja.

“Saya dapat maklumat ‘dalaman’ Jais semalam (14 Ogos), berkait dengan operasi Jais pada 3 Ogos 2011 lalu bahawa ada eleman dan peranan Umno dalam operasi Jais terhadap majlis yang diadakan di kawasan Gereja Methodist, Damansara Utama, Petaling Jaya itu,” ujarnya pada sidang media di pejabat PAS Terengganu, di sini hari ini.

Turut sama ialah Pesuruhjaya dan Setiausaha PAS negeri, Mohd Abdul Wahid Endut dan Yahaya Ali

Beliau berkata, oleh kerana maklumat ‘dalaman’ itu tersangat boleh dipercayai, maka mendedahkannya ekoran timbul pelbagai tafsiran tentang operasi yang dilakukan Jais itu.

Mustafa bersedia mendedahkan maklumat itu kepada Pengarah Jais dalam pertemuan yang akan diadakan nanti.

“Kami akan dedah maklumat-maklumat ini kepada beliau. Ini bergantung kepada Jais, jika esok dia hendak berjumpa kita dedah esok, hendak jumpa bila pun, insya Allah,” ujarnya.

Sepatutnya, kata beliau pemimpin PAS mengadakan perjumpaan dengan Jais hari ini.

“Tetapi pihak Jais memberi jawapan tidak dapat lagi untuk bertemu kami atas nasihat daripada Tuanku Sultan Selangor berdasarkan surat jawapannya kerana penyiasatan Jais belum lagi selesai,” jelasnya.

PAS harap Jais cepat kemuka hasil siasatan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: PAS berharap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dapat mengeluarkan hasil laporan siasatan berhubung pemeriksaan ke atas Methodist Church, Damansara Utama secepat mungkin.

Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia perlu disegerakan bagi mengelakkan kontroversi berterusan berhubung isu ini yang memberikan kesan buruk kepada masyarakat berbilang agama di negara ini.

Jais sebelum ini memberi jaminan akan mengeluarkan hasil laporan siasatannya selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Saya anggap itu tempoh masa yang lama kerana ini akan menimbulkan pelbagai kontroversi yang tidak baik kepada pelbagai pihak.

"Selagi tidak ada satu penyelesaian dan kata putus apa bentuk tindakan, maka akan timbul pelbagai kenyataan yang tidak baik yang boleh memberikan gambaran yang tidak sihat kepada masyarakat," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

PAS juga, katanya tetap mahu bertemu dengan Jais bagi mendapatkan penjelasan mengenai apa yang berlaku.

"Kami harap selesai siasatan, Jais sedia bertemu PAS kerana kita nak dengar dari Jais apa yang berlaku pada hari itu.

"Kami nak jumpa Jais, nak jumpa gereja, nak dengar sendiri dariapda mereka sebab Jais kata tak serbu, gereja kata serbu.Jadi nak dengar daripada kedua-dua pihak," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

PAS sepatutnya bertemu dengan Jais hari ini namun terpaksa dibatalkan atas nasihat Sultan Selangor.

"Memang kita minta jumpa hari ini tetapi jawapan JAIS telah pun diberikan secara bertulis, atas beberapa perkara kerana kes itu masih dalam siasatan dan atas nasihat Sultan, Jais tidak lagi bertemu dengan mana-mana pihak untuk menjaga maklumat siasatan agar tidak terlepas kepada pihak lain," katanya.

Manakala pertemuan dengan pihak gereja akan berlangsung esok seperti yang dirancang.

Sepuluh pimpinan PAS akan terlibat dalam pertemuan dengan pihak gereja tersebut.

Mereka diketuai Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahudin Ayub, Setiausaha, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat Idris Ahmad, Dr. Siti Mariah Mahmod, Dr. Dzulkefly Ahmad, Dr. Mujahid Yusof dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr. Abd Rani Osman.

Bukan Islam lebih faham bila berkawan dengan PAS

Fakhri Ali

TASEK GELUGOR, 15 Ogos: Hubungan dengan PAS sejak kemenangan Pilihan raya Umum tahun 2008, banyak mengajar masyarakat bukan Islam, khususnya dalam DAP untuk mengenali dan memahami Islam dengan lebih mendalam.

Demikian dinyatakan oleh Bendahari DAPSY Pulau Pinang, Steven Sim, ketika menyampaikan ceramah bersama dengan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz di Markas PAS Padang Menora malam tadi.

Menurut beliau lagi, jika sebelum ini pemikiran bukan Islam banyak diracuni oleh MCA dan Gerakan dengan membuat pelbagai dakwaan yang menakutkan, tetapi kini setelah menjadi rakan dengan PAS, bukan Islam telah banyak memahami Islam yang sebenarnya.

"Kerana berkawan dengan PAS jugalah, majlis berbuka puasa turut dianjurkan oleh pemimpin DAP seperti Lydia Kok di Berapit, Bukit Mertajam bagi meraikan sauadara-saudara Islam yang berpuasa.

"Dulu kita tidak diajar untuk memahami unsur-unsur baik dan harmoni ini. Kini, pemimpin di kalangan DAP bukan saja boleh turut sama untuk berbuka puasa bersama-sama seperti mana yang sering dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, tetapi juga berjaya memahami konsep hubungan baik tersebut.

"Hubungan baik ini juga tidak berjaya diresapi oleh pimpinan MCA dan Gerakan, walaupun mereka telah sekian lama berkawan dengan Umno. Oleh kerana itu jugalah, kita melihat kecelaruan sentiasa ada dalam komponen parti tersebut," tegasnya lagi.

Turut hadir sama dalam majlis ceramah tersebut ialah Ketua Pemuda PAS Pinang Pinang, Yusni Mat Piah.

Tiada ulasan: