Khamis, 7 Februari 2013

SUMBANGLAH APA SAJA UNTUK ISLAM...MENYOKONG ISLAM WAJIB...MENOLAK KEZALIMAN PUN WAJIB

Penduduk terharu terima sumbangan PAS Gombak Setia

Harakahdaily, 06 Feb 2013
GOMBAK: "Pucuk dicita ulam mendatang" begitulah diibaratkan buat penduduk di flat Pinggiran Batu Caves setelah menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Gombak Setia.

Antara barangan keperluan yang disumbangkan termasuk beras dan beberapa barangan dapur yang sememangnya diperlukan setiap isi rumah.

Setiap hari sebanyak lima hingga tujuh keluarga akan dipilih oleh PKM Dun Gombak Setia untuk menerima sumbangan tersebut.

Salah seorang penduduk, Alang Mat Isyah, 58, antara penerima pertama hari ini.

Beliau yang mengalami sakit buah pinggang cukup terharu dengan keprihatinan penyelaras Dun Gombak Setia yang menghulurkan sumbangan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanya.

“Alhamdulillah, dengan barangan keperluan yang diberikan ini dapat meringankan sedikit sebanyak beban kami sekeluarga," kata beliau ketika ditemui.

Begitu juga dengan seorang lagi penerima berbangsa India, Subramaniam, 76, yang sudah uzur berterima kasih kepada PAS Gombak Setia yang sudi menghulurkan bantuan kepada beliau sekeluarga.

“Kami sangat-sangat berterima kasih atas bantuan diberikan. Kami juga berasa terharu apabila penyelaras Dun Gombak Setia sendiri sudi menziarahi rumah kami. Bantuan ini sekurang-kurangnya meringankan beban perbelanjaan yang kami tanggung,” katanya yang juga tinggal di flat Pinggiran Batu Caves.

Turun menyantuni dan menziarahi masyarakat merupakan aktiviti harian yang akan dipenuhi sendiri oleh penyelaras Dun Gombak Setia Saleh Huddin Nasir dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Gombak yang diketuai Syarhan Humaizi Halim bagi melihat sendiri kesusahan dialami oleh penduduk sekitar.

Usaha ini, jelas Saleh Hudin bukan sahaja dapat menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bahkan dapat merapatkan hubungan dengan rakyat.

"Kerjasama yang diberikan amat menggalakkan dan kita berasa bertanggungjawab untuk melawat dan membantu rakyat yang memerlukan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, Syarhan Humaizi turut menangkis tomahan dari pihak-pihak tertentu usaha mereka itu sebagai gula-gula pilihanraya.

"Progam ziarah ini adalah program bulanan pemuda yang sudah bermula beberapa tahun yang lalu dan bukan hanya menanti hampir tarikh pilihanraya sahaja," ujar beliau yang juga PKM DUN Gombak Setia.

Turut serta dalam ziarah kebajikan hari ini beberapa wakil AJK dari PAS Gombak dan juga pemuda PAS Gombak.

Ziarah kebajikan pada minggu ini telah bermula semalam di Gombak Utara dan seterusnya bersambung di Kampung Sungai Chinchin pada hari Khamis ini.
Dun Gombak Setia adalah antara kawasan yang dimenangi PAS pada PRU 12 lalu.

Pemimpin Umno pamer longgokan duit depan penduduk

Harakahdaily, 06 Feb 2013


(Ikmal menunjukkan longgokan duit kepada penduduk ladang Kerila, Tanah Merah)

TANAH MERAH: “Wang berkenaan adalah jaminan atau bukti kepada penduduk bahawa saya Ketua Umno Bahagian Tanah Merah mempunyai sumber kewangan bagi membantu penduduk di ladang itu.

“Saya membawa wang sebanyak itu ke majlis berkenaan bagi menyakinkan penduduk bahawa Umno Tanah Merah di bawah saya bukan menabur janji kosong,” kata Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz, dipetik sebuah akhbar hari ini.

Semalam seorang penduduk dari Ladang Kerilla, Devandran a/l Vadiveloo, 34, mendakwa beliau melihat pemimpin Umno berkenaan membawa wang yang dibungkus di atas meja ketika menghadiri satu program di Kerilla baru-baru ini.

Katanya, perbuatan Ketua Umno Tanah Merah itu secara jelas cuba mengaburi mata masyarakat India dengan menjanjikan sesuatu untuk mereka.

“Saya amat terkejut seorang pemimpin Umno mempunyai wang tunai sebanyak RM1.2 juta. Dari mana seorang pemimpin mendapat wang tunai sejumlah itu.

“Sebagai mewakili masyarakat India di Ladang Kerilla sangat berharap SPRM membuat siasatan terperinci,” ujarnya.

Adun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustafa berkata, tidak pernah berlaku sebelum ini ada pemimpin Umno yang didakwa membawa begitu banyak duit untuk dipamerkan kepada orang kampung.

Katanya, pada awalnya ketika diberitahu pekerja di ladang berkenaan beliau kurang yakin, namun apabila ditunjukkan bukti bergambar keraguan hilang.

Katanya, insiden yang berlaku itu bukan perkara kecil sebaliknya ia melibatkan sesuatu berprofil tinggi, mempamerkan longgokan wang di hadapan penduduk kampung menjelang pilihan raya.

“Oleh itu saya berharap pihak berkaitan menyiasat isu tersebut kerana ia membabitkan maruah penduduk kampung,” ujarnya di sini.

Semalam lebih 50 penduduk dari beberapa kampung di Dun Gual Ipoh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu Ikmal dan Naib Ketua Umno Tanah Merah, Bakri Mustapa yang didakwa tidak datang mengajar di sekolah.

Surat arah kempen


Sementara itu dalam perkembangan lain jabatan dan agensi di bawah portfolio agama Jabatan Perdana Menteri difahamkan menerima surat arahan daripada pegawai seorang menteri supaya membantu kempen di sebuah kawasan parlimen di Kedah.

Sumber sebuah jabatan berkaitan memberitahu, pihaknya menerima arahan bertulis supaya datang berkempen membantu menteri yang dijangka bertanding di Yan, Kedah.

“Bukan lagi arahan secara lisan sebaliknya dibuat secara bertulis,” dakwanya.

Muslim Care sumbang RM30,000 kepada MDQ

Harakahdaily, 06 Feb 2013

MARANG: NGO kebajikan dan kemanusian Muslim Care hari ini tampil menghulurkan bantuan berupa wang berjumlah RM30,332 kepada pengurusan Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Rusila yang terlibat dalam kebakaran semalam.

Sumbangan tersebut diserahkan exco NGO tersebut Ridhuan Mohamad Nor kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Penanung MDQ di kediamannya di Rusila di sini pagi ini.

Turut serta dalam penyerahan itu, exco-exco yang lain termasuk Abdul Halim Ridhuan, Abdul Razak Mohamad, Johari Ismail serta Hishamuddin Karim dan Mudir MDQ, Ustaz Yassin Salleh.

Dalam kejadian kira-kira 9.40 pagi semalam, bahagian bagunan asrama lelaki di blok B Ma'ahad tersebut musnah hampir 100 peratus dijilat api.

Asrama yang terbakar itu menempatkan pelajar-pelajar lelaki tingkatan dua dan tiga dari Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.

Ekoran kejadian itu, hampir 90 pelajar hilang tempat tinggal, pakaian serta buku pengajian mereka.

Dalam pada itu, Pengerusi Dana Pembangunan MDQ, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pihaknya telah menerima sumbangan dari orang ramai termasuk melalui masjid dan surau seluruh negeri sejak semalam.

Menurutnya, sumbangan orang ramai boleh diteruskan melalui akaun di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Ma’ahad Darul Quran A/C: 13017010011956 atau hubungi 019-985 4348 (mudir).

Pada kejadian tersebut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama-sama para pelajarnya dan penduduk kampung berusaha memadamkan kebakaran tersebut dengan air sebelum Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba.


‘Ubah’ ingati ulang tahun ke-110 kelahiran Tunku

Harakahdaily, 06 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Tiada cara yang lebih baik bagi memperingati ulang tahun kelahiran Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman ke-110 melainkan dengan menyokong kempen ‘Cetuskan Perubahan’ untuk mendapatkan Merdeka 2 yang Tunku usahakan pada dekad terakhir hayatnya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengajak rakyat menjadikan 2013 pada ulang tahun kelahiran Tunku ke-110 sebagai permulaan baru Malaysia menuju ‘Merdeka Kedua’ dengan berlakunya ‘Ubah’ di Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Ini, katanya untuk melihat tercapainya janji Pemasyhuran Merdeka dan Malaysia terhadap demokrasi, kebebasan, keadilan, kebajikan dan kebahagiaan rakyat terutamanya dikala tanpa henti berdepan dengan cabaran globalisasi abad ke-21.

Jumaat ini, 8 Februari  merupakan ulang tahun kelahiran ke-110 Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Kempen ‘Cetuskan Perubahan’ dilancarkan oleh Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua hari ini.

Lim berkata, sejarah dan dunia tahu akan sumbangan Tunku sebagai seorang negarawan, pembangun bangsa dan sebagai tokoh sejarah yang unik.

Katanya, Tunku melambangkan kesopanan, kepercayaan yang mendalam terhadap kedaulatan hukum dan menghormati tradisi.

“Inilah saatnya untuk semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama dan kepercayaan politik bersama-sama memberikan penghormatan kepada seorang insan yang telah membina asas kepada Malaysia yang moden, demokratik dan sekular yang dipaterikan dengan perpaduan etnik, kepercayaan dan budaya yang pelbagai.

“Amatlah malang dan kesal apabila kenangan indah dan nama baik Tunku dan nenek moyang kita baru-baru ini difitnah apabila kata-kata menghina dilemparkan oleh salah seorang Perdana Menteri terkemudian yang menuduh Bapa Malaysia memberikan kewarganegaraan kepada satu juga bukan Melayu yang ‘tidak layak’ sebelum Merdeka pada 1957 – dengan hipokritnya mendakwa bahawa pengkhianatan ‘kewarganegaraan untuk undi’ untuk pendatang tanpa izin di Sabah sebagai perbuatan yang lebih terhormat dan layak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Ipoh Timurn itu menambah, apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957, diikuti dengan pembentukan Malaysia pada 1963, ia menandakan permulaan satu era baru yang mana rakyat Malaya dan kemudiannya Malaysia berani untuk berimpian besar dan mengubah dunia.

Katanya, ketika membaca Pemasyhuran Kemerdekaan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada hari bertuah itu 55 tahun lalu yakni pada 31 Ogos, 1957, Tunku berikrar bahawa Malaya ‘akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa’.

Kehendak itu, ujar beliau kemudiannya diulang semula oleh Tunku enam tahun kemudian di dalam Pemayshuran Malaysia pada 16 September, 1963 berkenaan pembentukan Malaysia, berikrar bahawa Malaysia “akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan diantara segala bangsa”.

Himpunan HAK 01 desak RCI siasat seleweng LTAT

Anis Nazri, 06 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (Kerabat) akan menggerakkan satu himpunan membabitkan ahlinya.

Himpunan yang dinamakan HAK 01 sebagai usaha menuntut satu suruhanjaya siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan dana tabung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Presiden Kerabat, Lt. Kol TUDM Mohd Nazari Mokhtar, berkata satu siasatan perlu dilakukan segera sama ada dakwaan tersebut benar atau sebaliknya.

Sehubungan itu, pihaknya menuntut satu RCI bagi menyiasat dakwaan tersebut yang didedahkan PKR sebelum ini.

Bagaimanapun, tambah beliau sebelum HAK 01 berlangsung, pihaknya kini dalam rangka kerja menjelajah seluruh negara bagi menerangkan keperluan tuntutan tersebut.

"Kita kini sedang dalam rangka jelajah seluruh negara untuk memaklumkan kepada rakyat kenapa perlu satu RCI diwujudkan.  Selepas itu, barulah HAK 01 digerakkan," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, HAK 01 belum diputuskan tarikhnya, namun dicadangkan diadakan dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, beliau mendesak pihak LTAT dan pihak terbabit untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan tersebut, namun tiada sebarang respons sehingga hari ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini mendedahkan wang pencen itu digunakan dalam urus niaga melibatkan bayaran RM30 juta untuk membeli 80 peratus saham terbitan Astacanggih dan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah Sdn Bhd (Awan Megah).

Urus niaga itu, katanya, dibiayai sepenuhnya oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah miliki penuh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Sedangkan, modal dan aktiviti Boustead Holdings Berhad banyak bergantung kepada caruman dari potongan gaji anggota tentera yang disalurkan melalui LTAT,” katanya pada sidang media, sebelum ini.

Rafizi berkata, bayaran RM130 juta terhadap 200 ekar tanah yang statusnya masih belum dipindah milik kepada Awan Megah sekaligus bermakna Zahid Hamidi mengambil RM130 juta dari caruman anggota tentera.

Wang itu kemudian digunakan untuk membayar syarikat milik seorang pimpinan Umno tanpa sebarang tukaran aset kerana tanah berkenaan belum dipindah milik kepada Awan Megah.

“Nilaian RM130 juta bagi 200 ekar tanah itu pula dibuat semata-mata atas dasar persetujuan antara penjual dan pembeli tanpa menggunakan penilaian bebas,” katanya.

Isteri wakil rakyat syukur ahli keluarga selamat

Anis Nazri, Foto SH, 06 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Biarpun kerugian hampir RM25,000 dalam insiden rompakan semalam, keluarga exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Che' Abdullah Mat Nawi melahirkan rasa syukur atas keselamatan ahli keluarganya.

Isteri Che' Abdullah, Datin Saleha Yaakob, ketika dihubungi Harakahdaily, berkata beliau bersyukur apabila beliau dan suami serta tiga anak-anaknya tidak diapa-apakan oleh perompak tersebut.

"Bimbang juga jika saya tersedar ketika kejadian tersebut. Mungkin saya akan menjerit. Kalau saya menjerit, mungkin perompak akan melakukan tindak balas yang lebih memudaratkan," jelas beliau yang  percaya kejadian itu berlaku antara jam 4 pagi hingga 4.30 pagi ketika dia sekeluarga sedang nyenyak tidur.

“Ini kejadian yang ketiga kali rumah kami dipecah masuk sejak mendiami rumah ini lapan tahun lalu. Sebelum ini kejadian berlaku pada waktu siang," cerita beliau.

Saleha berkata, dia menyedari rumahnya dimasuki pencuri kira-kira jam 5 pagi ketika bangun untuk menunaikan solat subuh.

Dalam pada itu, Saleha berkata beliau akan meningkatkan lagi tahap keselamatan di rumah tersebut bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

"Jika sebelum ini, kami memasang kamera litar tertutup (CCTV) selepas kejadian kedua dahulu.  Nampaknya, kami perlu tingkatkan lagi tahap keselamatan rumah ini.  Yang paling penting keselamatan kami sekeluarga," kata beliau.

Dalam kejadian tersebut, beliau kehilangan wang tunai RM500, gelang emas, cincin perkahwinan dan cincin pusaka tinggalan arwah ibunya.

Beliau juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

PAS akan sokong Deepak pohon dilindungi sebagai saksi

Hazayani Zakaria, 06 Feb 2013


(Deepak menunjukkan dokumen yang beliau ada kepada Mahfuz dan peguam PAS Haji Asmuni dan AJK PAS yang lain)

KUALA LUMPUR: PAS akan menyokong surat permohonan Ahli Perniagaan, Deepak Jaikishan untuk mendapatkan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi bagi membolehkannya membuat beberapa pendedahan penting.

Deepak akan menulis surat kepada Peguam Negara (AG) memohon perlindungan saksi (imuniti) bagi membolehkan beliau membuat pendedahan berhubung penyelewengan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri.

Beliau hari ini berjaya mendapatkan sokongan daripada PAS dan peguamnya bagi tujuan itu selepas pertemuan kira-kira satu jam di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Pertemuan dihadiri Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Penolong Setiausaha, Dr Syed Azman Syed Nawawi, ahli jawatankuasa PAS, Dr Dzulkefly Ahmad dan Asmuni Awi yang juga peguam.

"Kami telah meneliti segala dokumen yang Deepak ada. Berdasarkan dokumen-dokumen itu, kami bersetuju untuk memberikan sokongan kepada permohonan Deepak untuk mendapatkan imuniti bagi mendedahkan segala dokumen ini," kata Mahfuz Omar dalam sidang media hari ini.

Deepak dalam sidang medianya berkata, beliau sangat memerlukan imuniti itu untuk membolehkan dia mendedahkan segala dokumen yang beliau ada.

"Penglibatan saya dengan pasangan Perdana Menteri sangat mendalam dan melibatkan 'top secret'.

"Saya minta bantuan PAS dan Pakatan Rakyat kerana saya yakin kerajaan BN tidak akan memberi perlindungan kepada saya selepas saya dedahkan semua penyelewengan itu," kata beliau pada sidang media sejurus selepas pertemuan.

Peguam PAS, Asmuni Awi pula berkata, beliau juga akan menulis surat kepada AG bagi menyokong permohonan imuniti tersebut.

Menurutnya, Deepak berhak mendapatkan imuniti bagi membuat pendedahan kerana berdasarkan kenyataannya, beliau bekerjasama dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kerana terpaksa.

"Imuniti itu sudah terkandung dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat di bawah Seksyen 2 (b) di mana Deepak dikira layak mendapatkan perlindungan kerana Deepak bagitahu dia lakukan semua tugas atas arahan, bukan sukarela.

"Saya pun akan tulis surat kepada AG selepas Deepak berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Deepak memberitahu, beliau juga akan mengadakan sidang media di Singapura dan Dubai selain mengadakan siri jelajah untuk membuat pendedahan.

"Saya pilih Dubai Dan Singapura kerana media arus perdana di Malaysia tidak mahu melaporkan pendedahan ini," katanya.

Tiada ulasan: